comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran getah asli turun 9.2 peratus pada Mac 2024 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 9.2 peratus pada Mac 2024 (26,966 tan metrik) berbanding pada Februari 2024 (29,691 tan metrik), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik).

“Pengeluaran getah asli pada Mac 2024 disumbangkan kebanyakannya oleh sektor pekebun kecil (88.5 peratus) berbanding sektor estet (11.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jumlah stok getah asli pada Mac 2024 merosot 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, melonjak 7.0 peratus berbanding Februari 2024 (55,083 tan metrik).

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2024 diikuti Jerman (9.3 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), India (6.9 peratus) dan Pakistan (4.5 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.14 billion pada Mac 2024, meningkat 3.9 peratus berbanding Februari 2024 (RM1.10 billion),” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini