comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran industri merosot disebabkan sektor pembuatan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.1 peratus tahun ke tahun pada Disember 2023, dipengaruhi terutamanya oleh sektor pembuatan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan IPP pada Disember 2023 itu adalah selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut pada November 2023 (0.6 peratus) dan Oktober 2023 (2.4 peratus).

Beliau berkata, prestasi itu disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pembuatan pada -1.4 peratus, lebih rendah berbanding -0.1 peratus pada November 2023.

Katanya, sektor perlombongan dan elektrik sebaliknya masing-masing mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan 3.6 peratus dan 4.6 peratus pada bulan berkenaan berbanding 1.9 peratus dan 4.3 peratus pada November 2023.

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP terus merosot kepada 1.3 peratus berbanding -0.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

DOSM mengeluarkan laporan IPP Malaysia Disember 2023 yang memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kemerosotan pengeluaran pembuatan adalah dipengaruhi oleh penurunan yang berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang menurun sebanyak 4.1 peratus.

Beliau berkata, penguncupan itu disebabkan terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-7.2 peratus); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-4.6 peratus) dan pembuatan kelengkapan elektrik (-7.6 peratus).

Penurunan itu juga, katanya mencerminkan prestasi eksport negara, yang mengalami kejatuhan secara berterusan kepada negatif yang lebih besar iaitu 10 peratus pada Disember 2023.

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 3.3 peratus.

“Sebaliknya, industri berorientasikan domestik mengekalkan prestasi kukuh sebanyak 4.2 peratus pada Disember 2023 berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pengembangan itu dipacu terutamanya oleh pertumbuhan 9.7 peratus dalam pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan diikuti oleh pembuatan produk prosesan makanan pada 6.2 peratus dan pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 5.3 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini