comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran industri negara catat peningkatan – DoSM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024, didorong oleh pengembangan dalam kesemua sektor, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP kekal positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan pada Mac 2024 berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan tersebut diterajui pengembangan dalam sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 1.3 peratus, lebih baik daripada 1.2 peratus pada Februari 2024.

“Pada masa sama, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing mencatatkan 4.9 peratus (Februari 2024: 8.1 peratus) dan 7.8 peratus (Februari 2024: 10.9 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai IPP Malaysia bagi Mac 2024 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP kembali meningkat kepada 7.5 peratus berbanding negatif 6.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata pada Mac 2024, industri berorientasikan eksport pulih kepada 0.5 peratus berbanding negatif 0.2 peratus pada Februari 2024, terutama disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal; serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Selain itu, pembuatan perabot merekodkan peningkatan ketara sebanyak 12.6 peratus pada bulan berkenaan.

“Tambahan lagi, pertumbuhan industri berorientasikan eksport menggambarkan prestasi bagi eksport barangan perkilangan negara, yang memperoleh semula momentum pada Mac 2024,” katanya.

Beliau berkata perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport berkembang 11.0 peratus berbanding negatif 5.8 peratus pada Februari 2024.

Ketua Perangkawan berkata sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat sederhana sebanyak 3.1 peratus berbanding 4.1 peratus pada Februari 2024, dipacu terutama oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan, pembuatan produk galian bukan logam lain serta pembuatan produk prosesan makanan.

“Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik pulih kepada 1.9 peratus daripada negatif 7.2 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengenai prestasi IPP bagi suku pertama 2024, beliau berkata IPP terus meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun berbanding 0.8 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2023.

“Pengembangan ini disokong oleh kenaikan yang dicatatkan dalam sektor perlombongan sebanyak 5.9 peratus dan sektor elektrik 8.9 peratus manakala sektor pembuatan kembali meningkat kepada 2.1 peratus.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IPP turun 1.0 peratus dipengaruhi oleh sektor pembuatan pada negatif 1.8 peratus,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini