comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran minyak dijangka terjejas sekiranya hujan berterusan sehingga suku ke-2

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit mungkin boleh terjejas sekiranya hujan lebat berterusan sehingga suku kedua, kata seorang peserta industri.

Menurut Pengarah Syarikat Perladangan Ganling Sdn Bhd, Ah Ling, banjir yang melanda pada masa ini dijangka hanya memberi impak minimum kepada pengeluaran, tetapi angka pengeluaran perlu disemak jika hujan berterusan.

“Sebaik sahaja selepas bulan Disember, kami mengunjurkan pengeluaran domestik meningkat daripada 18.4 juta tan kepada 19.1 juta tan. Mungkin (ia memerlukan) sedikit pelarasan.

“Biasanya kesan La Nina terhadap pengeluaran sawit berbanding El Nino sangat berbeza. La Nina sangat fizikal tetapi tidak semua kawasan dinaiki air.

“Dan saya rasa ia sudah mula kering sekarang,” katanya pada acara webinar minyak sawit anjuran UOB Kay Hian pada hari Isnin.

Beliau berkata walaupun La Nina boleh mengganggu bekalan pada suku pertama, pengeluaran akan meningkat pada separuh pertama tahun ini dan hingga ke suku pertama 2024.

Dan sekiranya El Nino muncul pada separuh kedua tahun ini, ia tidak mungkin memberi kesan kepada bekalan dan harga minyak sawit mentah (MSM) sehingga separuh kedua tahun depan, tambahnya.

Beliau seterusnya berpendapat inventori semasa sebanyak 2.1 juta tan kekal menyokong paras harga MSM semasa.

“Harga MSM dijangka lemah pada separuh kedua tahun ini disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi dan permintaan yang lemah,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata La Nina pada masa ini yang dijangka berakhir bulan ini, masih boleh memberi kesan kepada pengeluaran kacang soya di Argentina dan selatan Brazil, sekali gus melonjakkan harga komoditi itu.

Keadaan itu dijangka tidak memberi kesan kepada penanaman kacang soya di Amerika Syarikat, tambah Ling. – BERNAMA

Loading...
Terkini