comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengukuhan dolar AS tidak jejas prospek pertumbuhan negara – BNM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama di Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan yang meningkat berhubung dengan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing telah menyumbang kepada dolar AS yang terus kukuh, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Justeru, katanya, keadaan itu telah mempengaruhi mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun lain, termasuk ringgit.

Walau bagaimanapun, jelasnya, perkembangan berkenaan dijangka tidak menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

“BNM akan terus menguruskan risiko volatiliti yang ketara, termasuk menyediakan mudah tunai, bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik dapat berfungsi dengan teratur.

“Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh dengan keadaan kewangan domestik terus kondusif untuk pertumbuhan kredit yang berterusan,” katanya dalam Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan hari ini.

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023 diumumkan Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengekalan OPR pada 3.00 peratus sememangnya telah dijangka dalam kalangan penganalisis ekonomi.

Beliau berkata, kadar inflasi di negara ini telah merosot ke paras 1.9 peratus pada September yang lalu berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2022.

Justeru, katanya, BNM telah menunjukkan kredibiliti mereka dalam mengawal inflasi dengan menggunakan dasar monetari.

Loading...
Terkini