comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Pengusaha gesa birokrasi pembiayaan dibendung  

Oleh Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Peruntukan lebih RM42 bilion dalam Belanjawan 2023 bukti pentingnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara.

Nilai ’gah’ itu mengujakan pemain industri yang berhasrat mengukuhkan perniagaan mereka.

Walaupun teruja dengan peruntukan besar itu,ramai pengusaha bimbang karenah birokrasi akan membantutkan akses kepada pembiayaan berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Beauty Kaseh Bhd, Faizul Rohban, dokumen yang diperlukan bagi setiap permohonan pembiayaan adalah tidak munasabah dan kurang relevan.

Pengarah Urusan Beauty Kaseh Bhd, Faizul Rohban.

“Setiap dokumen yang perlu dilampirkan sangat tebal dan perlu disediakan dalam tiga buku. Malah, sehingga kini permohonan pembiayaan saya bernilai RM50,000 sahaja tidak diketahui statusnya.Bila ditanya kepada agensi berkenaan, pelbagai alasan diberikan seperti pertukaran kerajaan dan tiada bajet” luahnya kepada Buletin TV3.

Katanya,setiap permohonan perlu melalui semakan CTOS dan Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

Namun kriteria seperti rekod kewangan kukuh sukar dipenuhi perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

Bagi Pengarah Urusan Al Jannah Global Marketing, Datin Sabariah Atan, sebagai pengusaha PMKS, beliau berharap agar pihak pemberi pinjaman tidak memberi syarat hanya perniagaan yang mempunyai pendapatan tinggi sahaja yang layak mendapat pinjaman.

Pengarah Urusan Al Jannah Global Marketing, Datin Sabariah Atan.

Syarat pinjaman juga perlu dipertimbangkan semula dan tidak bergantung kepada laporan kewangan semata-mata.

“Kalau boleh agensi kerajaan atau syarikat kewangan pertimbangkan kelulusan pembiayaan kepada syarikat yang mempunyai potensi untuk bangkit semula dalam perniagaan yang bermasalah” katanya kepada Buletin TV3.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, pembiayaan yang dipohon PMKS harus mengikut keperluan perniagaan bukan kehendak pengusaha.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

Jelas beliau, kesilapan memilih bentuk pembiayaan yang sesuai menjadi faktor permohonan PMKS ditolak.

“SME Corp juga mempermudah proses permohonan kepada PMKS untuk memohon geran atau program kami secara dalam talian. Sebelum ini kita laksanakan secara manual, namun dengan adanya kemudahan teknologi kita telah wujudkan permohonan secara dalam talian” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Selain itu, SME Corp juga memperkenalkan satu portal iaitu MYSME yang menyediakan khidmat nasihat mengenai maklumat pembiayan serta bantuan kerajaan di kementerian lain.

Beliau juga menjelaskan kriteria seperti kelayakan, skop perbelanjaan dan dokumen sokongan bukan bertujuan menyukarkan PMKS.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengelak berlakunya penyalahgunaan dan ketirisan dana kerajaan.

Loading...
Terkini