comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peniaga yakin suasana perniagaan lebih baik akhir 2023

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Peniaga menjangkakan suasana perniagaan yang lebih baik pada suku keempat 2023 dengan petunjuk keyakinan positif sebanyak 3.2 peratus, meningkat daripada 0.7 peratus pada suku tahun ketiga 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata perkhidmatan, industri dan pembinaan adalah tiga sektor yang menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik pada suku terakhir tahun ini.

Beliau berkata, keyakinan perniagaan bagi sektor perkhidmatan kekal pada trajektori positif, dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada 6.3 peratus berbanding 6.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Sementara itu, sektor industri terus optimis terhadap prestasi perniagaan, dengan petunjuk keyakinan 4.0 peratus bagi suku tahun yang sama berbanding 1.3 peratus pada suku tahun ketiga 2023.

“Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor pembinaan meningkat kepada trajektori positif buat pertama kalinya sejak suku pertama 2018 dengan catatan 1.7 peratus berbanding -26.9 peratus pada suku ketiga 2023.

“Walau bagaimanapun, peniaga dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang pesimistik, dengan petunjuk keyakinan sebanyak -3.6 peratus pada suku keempat 2023 berbanding -1.5 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan DOSM mengenai statistik kecenderungan perniagaan bagi suku tahun keempat 2023.

Penerbitan ini memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tiga dan enam bulan yang akan datang.

Menuju ke hadapan, unjuran perniagaan bagi tempoh Oktober 2023 hingga Mac 2024 dijangka kekal rancak walaupun menyederhana, dengan imbangan bersih 9.8 peratus berbanding 13.9 peratus yang dicatatkan sebelum ini, disokong oleh kesemua sektor yang positif kecuali perdagangan borong dan runcit.

Sentimen dalam sektor perkhidmatan kekal positif, dengan imbangan bersih 19 peratus.

Bagi enam bulan mendatang, kesemua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan persekitaran perniagaan yang positif.

Loading...
Terkini