comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peningkatan pendapatan isi rumah dorong pengguna berbelanja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan pengguna Malaysia kekal berdaya tahan sejajar dengan pasaran pekerjaan yang kukuh dan tekanan inflasi yang berkurangan, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis BIMB Securities Research, Imran Nurginias Ibrahim, berkata nilai jumlah jualan runcit kekal melebihi RM60 bilion untuk enam bulan berturut-turut, di samping peningkatan semula aliran masuk pelancongan.

“Melangkah ke hadapan, perbelanjaan domestik berdaya tahan dipacu keadaan pasaran pekerjaan yang stabil dan ketibaan pelancong lebih tinggi yang mengukuhkan subsektor berkaitan pelancongan harus terus memanfaatkan sektor peruncitan.

“Peningkatan berterusan dalam pendapatan isi rumah dan dasar ekonomi yang menyokong serta akomodatif dari segi fiskal dan kewangan juga harus menyediakan sokongan. Justeru, momentum perbelanjaan pengguna berkemungkinan meningkat pada 2024,” katanya dalam nota satu penyelidikan.

Beliau berkata, pada 2023, Malaysia mencatatkan 20.1 juta ketibaan pelancong, menjana RM71.3 bilion dalam pendapatan pelancongan.”Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjangkakan ketibaan pelancong ke Malaysia mencecah 27.3 juta, dengan jangkaan pendapatan RM102.7 bilion pada 2024,” katanya.

Imran Nurginias bagaimanapun berkata, meskipun pihaknya optimis terhadap prospek domestik untuk 2024, namun firma penyelidikan itu berwaspada berikutan unjuran perbelanjaan pengguna yang berhati-hati.

Beliau berkata, ia berikutan jangkaan pendapatan boleh guna yang lebih rendah dan rasionalisasi subsidi yang akan berlaku ke atas makanan serta potensi risiko inflasi meningkat daripada lanjutan rasionalisasi subsidi bahan api pada tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini