
Oleh :Juliana Pija Ismail
PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerima 1,670 aduan penipuan pelaburan atau scam pada separuh pertama tahun ini.
Menurut Pengurus Besar Pejabat Pengguna Dan Pelabur SC Jawaher Ali Ameer Ali, angka itu adalah hampir 60 peratus daripada jumlah yang diterima untuk 2022.
Pada 2020 suruhanjaya itu telah menerima aduan scam sebanyak 1,799 dan pada 2021 sebanyak 3,475 manakala sebanyak 2,461 aduan dicatatkan pada 2022.
“Kebanyakan skim pelaburan haram itu dipromosikan menerusi media sosial dan nilai kerugian dianggar mencecah puluhan juta ringgit”katanya kepada Buletin TV3 selepas sesi soal jawab di Simposium Perancangan Kewangan anjuran Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM).
“Puluhan juta ini kalau dilaburkan ke pelaburan yang sah, orang ramai bolehmendapat pulangan yang baik.Jika sesuatu pelaburan itu menjanjikan pulangan yangg luar biasa adalah tidak masuk akal. Contohnya melabur RM300 ringgit dan mendapat pulangan RM3000 dalam tempoh 4 jam. Pulangan 1000% itu tidak masuk akal” katanya.
Penipuan secara dalam talian menggunakan iklan di Facebook, laman sesawang palsu dan mewujudkan kumpulan Telegram awam untuk mempromosikan pakej pelaburan.
Ia biasanya disertakan dengan testimoni dan sijil palsu yang didakwa dikeluarkan oleh pelbagai agensi.
Setakat ini, SC telah menyekat 95 laman sesawang, mengeluarkan 170 senarai amaran, menyekat 58 Facebook dan 74 akaun Telegram.
Dalam pada itu, beliau menegaskan ‘finfluencer’ yang berupaya mempengaruhi proses membuat keputusan kewangan orang awam agar lebih berhati-hati dalam mempromosikan sebarang skim pelaburan.