comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penubuhan kerajaan baharu “tenangkan” ketidaktentuan pasaran

Foto hiasan

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Ketidaktentuan pasaran saham dan nilai mata wang ringgit semasa dijangka bersifat sementara ekoran situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penganalisis pasaran berpendapat, pelabur bertindak menunggu sehingga kerajaan baharu dibentuk sebelum memasuki pasaran semula.

Situasi parlimen tergantung yang belum pernah berlaku di Malaysia telah menjejaskan sentimen pelabur.

Kurang dari 30 minit awal dagangan sesi pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menjunam sehingga 21.57 mata kepada paras terendah harian 1,427.75.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menganggap sentimen di pasaran saham tempatan kekal berhati-hati berikutan keputusan PRU-15 yang baru berakhir.

“Apabila kita memasuki persekitaran politik baharu, ekuiti tempatan mungkin mengalami turun naik dan ketidaktentuan yang lebih ketara sehingga kerajaan baharu ditubuhkan,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau turut mensasar penanda aras FBM KLCI bergerak dalam julat 1,430 hingga 1,450 minggu ini.

Pada jam 5 petang, Bursa Malaysia ditutup lemah dengan FBM KLCI susut 1.36 mata atau 0.09 peratus kepada 1,447.96 berbanding 1,449.32 Khamis lalu.

Dalam pada itu, PRU-15 bukan menjadi faktor besar terhadap prestasi mata wang tempatan meskipun ia memulakan dagangan dalam aliran negatif minggu ini.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, ini kerana ringgit lebih banyak dipengaruhi faktor luaran seperti tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terhadap dasar monetarinya berbanding situasi politik negara.

“Setelah pasaran mula menjangka pihak Fed akan mula mengurangkan tindakan agresif mereka, kami telah lihat pengukuhan ringgit dalam jangka masa dua minggu lalu. Jadi kami menjangka kelemahan ringgit hari ini mungkin satu reaksi ‘knee jerk’ sahaja dan akan kembali kukuh selepas kerajaan baharu dibentuk,” katanya kepada Buletin TV3.

Fed dijangka akan mengurangkan peningkatan kadar faedah akan datang sebanyak 50 mata asas, selepas beberapa siri kenaikan 75 mata asas tahun ini.

Sejajar kelemahan pasaran ekuiti, pada jam 6 petang, ringgit turut ditutup rendah pada 4.577 berbanding dolar AS, daripada 4.549 penutupan pada Khamis.

Loading...
Terkini