comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penurunan mata wang punca harga makanan, minyak naik mendadak

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai mata wang kebanyakan ekonomi membangun telah memacu kenaikan harga makanan dan bahan api dengan lebih pantas.

Pakar Ekonomi Kanan Pertanian, Prospek Pembangunan Ekonomi Bank Dunia, John Baffes, berkata peningkatan itu berpotensi memburukkan lagi krisis makanan dan tenaga yang telah pun dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia ketika ini.

Beliau berkata, negara membangun utama seperti Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena luar jangka ini.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan harga komoditi ketika ini menyusut daripada paras harga yang tinggi ketika permintaan pasca pandemik dan peperangan di Ukraine, didorong oleh kelembapan pertumbuhan global yang mendadak selain kebimbangan terhadap kemelesetan global yang akan berlaku.

“Namun, setiap komoditi menyaksikan trend berbeza mengikut keadaan bekalan dan tindak balasnya terhadap permintaan yang berkurangan,” katanya ketika taklimat media Laporan Tinjauan Pasaran Komoditi (Oktober 2022) secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Baffes berkata walaupun terdapat trend penurunan, harga komoditi sebenarnya masih kekal tinggi jika diukur dari segi mata wang domestik, disebabkan oleh penyusutan nilai mata wang sesebuah negara.

Beliau berkata, sebagai contoh, harga minyak mentah Brent dalam dolar Amerika Syarikat (AS) jatuh hampir enam peratus dari Februari 2022 hingga September 2022.

Namun, katanya, disebabkan susut nilai mata wang, hampir 60 peratus daripada pengimport minyak dari pasaran baru muncul menanggung harga bahan api yang lebih tinggi.

“Harga minyak mentah Brent jatuh mendadak pada suku ketiga 2022 dengan harga pada September 2022 berada pada purata 25 peratus di bawah paras tertinggi pada Jun.

“Kejatuhan itu mencerminkan kebimbangan terhadap kemelesetan global yang akan berlaku, sekatan berterusan di China dan kenaikan besar daripada rizab strategik.

“Harga minyak menyaksikan pemulihan separa pada Oktober apabila ahli OPEC+ (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu) bersetuju untuk mengurangkan sasaran pengeluaran mereka sebanyak dua juta tong sehari. Harga minyak dijangka akan berada pada purata AS$92 setong pada 2023, hampir dengan paras semasa,” katanya.

Baffes berkata, faktor utama penyusutan harga bahan api adalah disebabkan kemelesetan ekonomi global yang menyebabkan permintaan yang lebih lemah.

Ia, katanya termasuk risiko peningkatan berkaitan dengan isu bekalan, antaranya pengeluaran Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah daripada jangkaan atau pengeluaran yang lebih rendah dalam kalangan OPEC+.

“Tinjauan harga komoditi tertakluk kepada pelbagai risiko. Pasaran tenaga menghadapi kebimbangan bekalan yang ketara kerana kebimbangan mengenai ketersediaan tenaga semasa musim sejuk yang akan datang semakin meningkat di Eropah.

“Harga tenaga yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh memberi kesan kepada harga bukan tenaga, terutamanya makanan.

“Ini akan memanjangkan cabaran yang berkaitan dengan makanan. Kelembapan yang lebih ketara dalam pertumbuhan global juga memberikan risiko utama, terutamanya bagi harga minyak mentah,” katanya.

 

 

Loading...
Terkini