comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penyasaran subsidi positif kepada penarafan hutang, meyakinkan pelabur

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Langkah penyasaran subsidi yang dijalankan kerajaan dijangka memberi kesan positif kepada penarafan hutang negara, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah rasionalisasi sudah pasti akan disambut baik oleh agensi penarafan kredit utama seperti Moody’s, S&P dan Fitch berikutan defisit fiskal serta saiz hutang kerajaan akan mengecil seperti yang dirancang.

“Justeru, kredibiliti kerajaan dalam mengurus kewangan akan meningkat dan perkara ini akan menarik perhatian pelabur portfolio sama ada pelabur asing mahupun tempatan.

“Sekiranya momentum reformasi ekonomi ini dapat dikekalkan maka nilai mata wang tempatan dijangka akan lebih mengukuh pada masa akan datang disebabkan peningkatan permintaan ringgit daripada pelabur asing yang mahu melabur di Malaysia,” katanya kepada BH.

Fitch mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil, Moody’s turut mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil, manakala S&P Global Ratings pula mengekalkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing ‘A-‘ jangka panjang dan ‘A-2’ jangka pendek di Malaysia.

Mengulas impak pelarasan harga diesel mengikut pasaran semasa dengan bermula pada RM3.35 seliter di semua stesen runcit petrol di Semenanjung, Mohd Afzanizam berkata, secara teorinya, kesan kepada inflasi adalah terkawal berikutan pemberat diesel di dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah pada kadar 0.2 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan pemberat IHP itu menunjukkan bahawa penggunaan diesel dalam kalangan pengguna adalah minimum.

Katanya, peniaga pula sebahagiannya akan menerima bantuan dalam bentuk subsidi bersasar seperti kad fleet dan bantuan tunai.

Walau bagaimanapun, jelasnya, risiko kenaikan harga barang adalah perkara yang dibimbangi kerana mungkin ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

“Justeru, perkara ini perlu dipantau secara komprehensif dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada memandangkan pengguna lazimnya akan membayar harga yang ditetapkan oleh peniaga. Oleh itu, pengguna terdedah kepada risiko kenaikan harga barang,” katanya.

Bagi golongan rentan, Mohd Afzanizam berkata, kerajaan telah mempunyai ruang fiskal yang luas dan membolehkan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan tunai kepada rakyat yang layak menerimanya.

Beliau berkata, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah dinaikkan daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini