Tumpuan :
Detik Niaga

Penyedia teknologi tempatan sasar ke Pasaran ACE

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penyedia teknologi tempatan TP Tec Holding Bhd yang membuat penampilan sulungnya di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini, merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ia menjangkakan pertumbuhan hasil dua angka tahunannya akan kekal mampan, didorong oleh penggunaan 5G yang dipercepatkan di Malaysia dan pengembangan pusat data yang pesat di negara ini.

Pengarah Urusan Lau Poh Keong berkata syarikat itu juga menjangkakan prestasinya akan dipertingkatkan lagi dengan rancangannya untuk memasuki Pasaran ACE dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Dengan kontrak semasa kami bernilai RM110 juta dan kontrak belum dibilkan sebanyak RM77.06 juta, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan pertumbuhan ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Prestasi kami yang kukuh ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan kami, terutamanya dalam sektor seperti telekomunikasi dan pembinaan,” katanya kepada pemberita ketika syarikat itu membuat penampilan sulungnya di Pasaran LEAP hari ini.

Beliau berkata 80 peratus daripada pendapatan syarikat ketika ini adalah daripada sektor telekomunikasi, manakala baki 20 peratus melalui sektor pembinaan.

Syarikat itu yang muncul di Pasaran LEAP mencatatkan premium 3.0 sen berbanding harga IPO sebanyak 10 sen, dengan 5,000 saham diniagakan.

Pada 5 petang, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 13 sen, dengan 5,000 saham diniagakan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini