comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan borong, runcit cecah RM142.4 bilion pada Januari

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan RM142.4 bilion pada Januari 2024, meningkat 5.4 peratus berbanding setahun lalu.

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan jatuh 1.1 peratus berbanding Disember 2023, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada Januari itu dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.7 bilion.

“Kenderaan bermotor juga berkembang dengan mencatatkan 16 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM17.6 bilion, diikuti oleh perdagangan runcit dengan pertumbuhan 2.6 peratus atau RM1.5 bilion untuk berada pada RM61.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi perbandingan bulanan, Mohd Uzir berkata prestasi negatif 1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh perdagangan runcit yang menurun 2.1 peratus, diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor yang menguncup 5.1 peratus.

“Sebaliknya, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada bulan berkenaan,” katanya.

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan memaklumkan bahawa pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong pada bulan berkenaan disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.8 bilion atau 8.3 peratus kepada RM24 bilion.

Katanya, ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (4.6 peratus), jualan borong barangan isi rumah (2.9 peratus), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (4.2 peratus), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (4.5 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.1 peratus).

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 1.2 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.7 peratus), jualan borong barangan isi rumah (2.0 peratus), lain-lain pengkhususan jualan borong (0.6 peratus) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (0.6 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.6 peratus bagi subsektor perdagangan runcit disokong oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang tumbuh 4.9 peratus atau RM600 juta kepada RM12.9 bilion.

Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2.2 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (3.3 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (6.2 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (1.0 peratus), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (1.1 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.7 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (2.0 peratus).

“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini merosot 2.1 peratus, disebabkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (-2.5 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (-2.5 peratus) dan jualan runcit barangan isi rumah (-2.2 peratus),” katanya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh 1.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024 berbanding -0.4 peratus pada Disember 2023.

Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Januari 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.5 peratus.

Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (12.1 peratus), perdagangan borong (4.0 peratus) dan perdagangan runcit (1.4 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini