comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan, eksport Malaysia  merosot

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan negara pada Ogos 2023 menyusut 19.8 peratus kepada RM213.01 bilion berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.

Menurut Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), eksport menyusut 18.6 peratus kepada RM115.16 bilion dan import menurun sebanyak 21.2 peratus kepada RM97.85 bilion.

Prestasi itu seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Korea Selatan, China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Ogos 2023 serta penyusutan dalam import global.

Namun, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut pada Ogos 2023, meningkat 0.1 peratus kepada RM17.31 bilion, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Berbanding Julai 2023, prestasi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menguncup sebanyak 1.5 peratus, 1.4 peratus, 1.6 peratus dan 0.3 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, perdagangan berkurangan sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.718 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Eksport menguncup 7.6 peratus kepada RM935.22 bilion, import menyusut 8.6 peratus kepada RM782.29 bilion dan lebihan dagangan turun dua peratus kepada RM152.92 bilion

Pada Ogos 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.4 peratus atau RM98.36 bilion daripada jumlah eksport menurun sebanyak 17.7 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Loading...
Terkini