comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia berdaya tahan hadapi kelembapan global

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan luar Malaysia diunjur kekal berdaya tahan tahun depan hasil daripada kepelbagaian produk eskport terutamanya elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum ditapis serta minyak sawit dan barangan perlombongan meskipun kelembapan global akan memberi kesan ketara terhadap perdagangan dunia, demikian menurut MIDF Research.

“Justeru untuk tahun depan, kami mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), ekonomi global mampu mengelak kemelesetan pada tahun depan, tetapi krisis tenaga terburuk sejak 1970-an akan mencetuskan kelembapan mendadak, dengan Eropah paling teruk terkesan sambil menambah bahawa memerangi inflasi harus menjadi keutamaan utama pembuat dasar.

Tinjauan di semua negara adalah berbeza secara meluas, walaupun ekonomi Britain dijangka ketinggalan berbanding negara lain, kata pertubuhan itu.

Ia meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan perlahan daripada 3.1 peratus tahun ini, lebih rendah daripada ramalan OECD dalam unjuran September, kepada 2.2 peratus tahun depan, sebelum meningkat kepada 2.7 peratus pada 2024.

MIDF Research berkata, memetik kenyataan Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann: “Kami tidak mengunjurkan kemelesetan, tetapi kami pastinya mengunjurkan tempoh kelemahan yang ketara.”

Ia berkata, berdasarkan kenyataan itu, OECD mengunjurkan kelembapan ekonomi global pada tahun depan dan bukannya kemelesetan.

Dalam unjuran terkini November 2022, badan antarabangsa itu menaikkan kadar pertumbuhan 2022 sebanyak 0.1 peratus mata kepada 3.1 peratus dan mengekalkan ramalan 2023 pada 2.2 peratus.

Ia menambah, di seluruh dunia, OECD menjangkakan China berkembang perlahan sedikit daripada ramalan awal, 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus untuk 2023. “Tinjauan global untuk tahun depan kekal berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan.

Kemungkinan kemelesetan kekal di dalam radar, tetapi tanda-tanda peningkatan asas makroekonomi di banyak negara akan terus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun depan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini