comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia diunjur berkembang dengan baik tahun ini

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank mengekalkan pandangan positif terhadap gambaran perdagangan Malaysia untuk 2024 berikutan kekukuhan dalam ekonomi dunia dan serantau, peningkatan prestasi sektor teknologi dunia, dan dinamik ekonomi China yang baik.

Penganalisisnya, Nai Wan Yan, berkata untuk Januari 2024, eksport dan import masing-masing meningkat 8.7 peratus dan 18.8 peratus berbanding setahun lalu, iaitu lebih tinggi daripada anggaran konsensus pasaran iaitu masing-masing pada tiga peratus dan lapan peratus.

“Kenaikan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada Westports dan syarikat logistik seperti Tasco dan FM Global,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap saham syarikat-syarikat dalam sektor pengangkutan, dengan pilihan syarikat utama ialah Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Tasco.

Sementara itu, Wan Yan berkata berdasarkan senarai empat syarikat di bawah liputan kajian bank pelaburan itu yang melaporkan keputusan kewangan, Westports berjaya melangkaui jangkaan, manakala MAHB mencapai keputusan yang disasarkan.

Namun, katanya keadaan yang sebaliknya menimpa FM Global dan Tasco apabila kedua-duanya gagal memenuhi anggaran keputusan.

“Kami menyukai MAHB kerana ia bakal meraih manfaat daripada pemulihan yang bakal berlaku. Tasco pula menjadi syarikat pilihan dalam sektor logistik disebabkan oleh rangkaian pelanggan yang pelbagai dan segmen-segmen perniagaannya yang akan mengekalkan asas perolehan, di samping turut menerima insentif Cukai Logistik Bersepadu (ILS) yang mampu menjadi penimbal daripada sebarang kekangan dalam sektor,” katanya.

Beliau berkata, untuk keputusan tahun kewangan 2023, Westports berjaya mencatatkan keputusan mengatasi jangkaan bank pelaburan itu.

Katanya, jumlah kontena bulanan yang dikendalikan oleh Westports pada Disember 2023 adalah angka tertinggi yang pernah dicatatkan, sekali gus menandakan pemulihan dalam kegiatan perdagangan pada peringkat serantau.

“Jumlah bilangan kontena yang diuruskan ini mengatasi bayangan awal yang dijangka bertambah pada kadar angka tunggal rendah akibat pemindahan semula kontena kosong pada separuh pertama 2023 dan jumlah kendalian kontena sebanyak TEU (10.5 juta unit bersamaan 20 kaki) import dan eksport yang lebih kukuh pada separuh kedua, khususnya pada Disember,” katanya.

Wan Yan menambah, MAHB pula menunjukkan pemulihan dalam kedua-dua segmen aeronautika dan bukan aeronautika, membolehkan prestasi syarikat itu pada tahun kewangan 2023 menepati anggaran RHB Investment Bank dan mengatasi anggaran konsensus.

“Prestasi lebih kukuh ini sememangnya sudah dijangka menepati jangkaan kami disebabkan oleh pertumbuhan serentak yang berlaku dalam lalu lintas penumpang dan kadar pemulihan.

“Data lalu lintas untuk Januari 2024 juga menunjukkan catatan paras tertinggi sekali lagi dan hal ini selari dengan jangkaan pemulihan penuh kami pada tahun 2024,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini