comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia kembali melonjak selepas susut 10 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia pada Januari 2024 mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 13.3 peratus kepada RM234.73 bilion setelah merekodkan penyusutan bagi 10 bulan berturut-turut.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat 8.7 peratus kepada RM122.43 bilion dan import naik 18.8 peratus kepada RM112.3 bilion, nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi Januari.Sementara itu, lebihan dagangan berjumlah RM10.12 bilion dan menjadi lebihan dagangan yang ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

“Pertumbuhan eksport telah disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam.

“Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan. Berbanding Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 4.3 peratus, 3.4 peratus dan 5.3 peratus, manakala lebihan dagangan menyusut 13.8 peratus.

Pada Januari 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.7 peratus daripada jumlah eksport meningkat 9.3 peratus kepada RM103.65 bilion.Hampir kesemua barangan perkilangan merekodkan pertumbuhan dua angka eksport kecuali barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang menurun sebanyak 6.5 peratus terutamanya ke China dan Singapura.

Pertumbuhan eksport direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam.Eksport hasil galian bagaimanapun mengurang sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM9.72 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG).

Eksport keluaran pertanian pula mencatatkan peningkatan dua angka 17.5 peratus kepada RM8.24 bilion setelah merekodkan pertumbuhan negatif tahun ke tahun sejak November 2023.Kenaikan itu disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini