comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion dalam 10 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, dengan mencecah nilai RM2.181 trilion.

Prestasi itu dicapai melalui eksport yang berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion dalam tempoh 10 bulan.

Perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak lapan peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala lebihan dagangan berkurang 7.9 peratus kepada RM190.04 bilion.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 berkembang 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion.

Eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM126.19 bilion dan import mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.4 peratus kepada RM113.33 bilion.

Lebihan dagangan mencecah RM12.87 bilion, menjadi lebihan dagangan yang ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan berkata, perdagangan Malaysia menyusut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.4 peratus tahun ke tahun pada Oktober, berbanding penurunan dua angka yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, eksport menurun 4.4 peratus dan import berkurang secara marginal sebanyak 0.2 peratus.

“Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia lain seperti China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Oktober 2023 serta pengurangan dalam import global,” katanya.

Loading...
Terkini