comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perjalanan domestik melonjak 15 peratus ketika Aidilfitri, cuti sekolah

 

KUALA LUMPUR: April menjadi bulan yang sibuk kepada lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas perjalanan domestik melonjak 15 peratus ketika musim Aidilfitri dan cuti sekolah.

Lonjakan itu diterjemahkan kepada peningkatan ketara dalam pergerakan penumpang, dengan lebih 3.7 juta pelancong domestik direkodkan, menunjukkan kenaikan mendadak daripada 3.2 juta yang dicatatkan pada Mac 2024.

Selaras dengan lonjakan itu, pergerakan pesawat juga mengalami kenaikan yang ketara, meningkat sebanyak 13 peratus kepada 34,363 penerbangan pada April daripada 30,382 penerbangan pada Mac.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) mendahului dengan peningkatan 20 peratus kepada 1.3 juta penumpang, diikuti dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), dengan masing-masing melonjak 15 peratus.

PEN dan LGK masing-masing mencatat 298,266 dan 169,326 penumpang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama yang memacu pertumbuhan perjalanan domestik.

Pada April 2024, Malaysia Airports Group melaporkan prestasi aliran trafik keseluruhan 7.6 juta penumpang di seluruh lapangan terbang domestik, menokok 8.0 peratus berbanding 7.1 juta yang dicatatkan pada Mac.

Pergerakan penumpang antarabangsa pula kekal pada kadar yang stabil, menyumbang sebahagian besar daripada jumlah prestasi trafik pada 3.9 juta penumpang, atau 51 peratus daripada keseluruhan aliran trafik.

KUL sebagai pintu masuk utama, terus menunjukkan daya tahan apabila mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus dalam pergerakan penumpang antarabangsa kepada 3.3 juta penumpang pada April daripada 3.2 juta penumpang pada Mac 2024, menunjukkan peranan pentingnya dalam memudahkan perjalanan udara antarabangsa di rantau ini.

Sementara itu, jumlah prestasi MAHB untuk April termasuk aset Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW), juga mempamerkan pertumbuhan yang memberangsangkan, mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 11 juta.

Ia menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 7.6 peratus berbanding angka 10.2 juta pergerakan penumpang pada bulan sebelumnya.

Di SAW, sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.7 juta pergerakan penumpang pada April 2024, yang melonjakkan jumlah trafik penumpang sebanyak 3.4 juta bagi bulan dikaji.

Sektor domestik menyaksikan lonjakan 21 peratus, dengan pergerakan penumpang meningkat kepada 1.7 juta pada April 2024 daripada 1.4 juta pada bulan sebelumnya.

Peningkatan ketara itu dikaitkan dengan bermulanya musim kemuncak perjalanan, didorong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan dan sambutan perayaan seperti cuti Aidilfitri dan Easter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini