KUALA LUMPUR: Perkembangan positif di China dilihat menjadi pendorong tambahan kepada pergerakan ringgit, demikian AmBank Group Economic Research.
Dalam nota penyelidikan, firma penyelidik itu berkata, sejak Amerika Syarikat (AS) memulakan langkah pengetatan dasar monetarinya, hubung kait antara ringgit dan yuan China adalah sekitar 95 peratus, jauh mengatasi korelasi ringgit dengan Indeks AS DXY.
“Berdasarkan data perdagangan September, kami berpendapat ini berlaku kerana China menjadi pasaran eksport utama Malaysia dengan 17 peratus penghantaran luar negara adalah ke negara terbabit.
“Selain itu, China kekal menjadi hab pembuatan global dan mewakili sekitar 24 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dalam sektor pembuatan.
“Berdasarkan latar belakang ini, kami berpandangan, peningkatan ekonomi China ditambah dengan keupayaan untuk membendung risiko kredit hartanahnya daripada merebak pasti akan membantu mata wang tempatan,” katanya.
AmBank Group Economic Research berkata, rangsangan monetari dan fiskal telah diperkenalkan, namun lebih banyak langkah langsung ke arah sektor hartanah akan menjadi sesuatu yang positif untuk prospek China.
“People’s Bank of China (bank pusat China) dalam dua langkah berasingan telah mengurangkan Kadar Pinjaman Utama 1-tahun sebanyak 20 mata asas kepada 3.45 peratus dan dari segi fiskal, kerajaan meluluskan terbitan bon berdaulat CNY1.0 trilion (RM640.64 bilion) dan membenarkan kerajaan tempatanuntuk memuatkan sebahagian daripada kuota bon 2024, satu langkah untuk menyokong ekonomi.
“Risiko yang lebih besar ialah risiko kredit yang berlarutan dalam sektor hartanah dengan pemaju terkemuka gagal membayar bon mereka,” katanya.
Sementara itu, firma penyelidik memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, langkah mempercepatkan untuk mengeluarkan pemaju tidak berdaya maju adalah termasuk dengan menghapuskan halangan terhadap pelarasan harga rumah, menyediakan peruntukan tambahan kerajaan pusat untuk menyiapkan projek perumahan, harus dipertimbangkan.