comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permintaan keseluruhan sektor pembuatan kekal rendah

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Situasi permintaan secara menyeluruh bagi sektor pembuatan kekal rendah pada akhir 2023, menyebabkan syarikat mengurangkan pengeluaran dalam keadaan aliran masuk pesanan baharu yang kecil, demikian menurut S&P Global.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim tidak mencatatkan perubahan pada Disember iaitu 47.9, menunjukkan bahawa situasi perniagaan dalam kalangan firma pembuatan kekal mencabar.

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti, berkata walaupun data PMI yang terkini menunjukkan permintaan kekal suram, data berkenaan masih konsisten dengan mencatat pertumbuhan sederhana dalam statistik rasmi.

“Bagaimanapun, isyarat memperlihatkan situasi permintaan kekal rendah dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan pengeluaran dan aliran masuk perniagaan baharu adalah sederhana secara berterusan.

“Malah, terdapat bukti bahawa syarikat meningkatkan penggunaan stok sedia ada barangan siap untuk menyelesaikan tempahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari sudut positif, harga input menokok pada kadar lebih perlahan untuk kali pertama dalam masa tiga bulan pada Disember yang menyumbang kepada peningkatan sederhana terhadap caj output.

“Sehubungan itu, kenaikan harga adalah tidak begitu ketara berbanding purata siri masing-masing,” katanya.

S&P Global berkata, selaras dengan aliran pengeluaran dan pesanan baharu, aktiviti pembelian terus dikurangkan berikutan gambaran yang suram bagi perniagaan baharu mengekang syarikat daripada membeli input tambahan.

Sebaliknya, stok pembelian turut menyusut meskipun pada kadar paling perlahan sejak Julai.

Sementara itu, katanya harapan agar pesanan baharu kembali mencatat pertumbuhan meningkatkan keyakinan bahawa pengeluaran akan menokok dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Loading...
Terkini