comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permintaan terhadap emas kekal tinggi sebagai aset selamat

Harga emas dijangka AS$2,200 seaun pada tahun ini – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Permintaan untuk emas dijangka kekal kukuh dengan harga diunjurkan AS$2,200 seaun tahun ini, kata Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Wira Louis Ng.

Beliau berkata, prospek pasaran logam berharga itu terus kukuh berikutan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu mendorong belian terhadap emas sebagai aset selamat.

Katanya, faktor seperti konflik geopolitik di Asia Barat dan Ukraine-Russia juga mendorong permintaan tinggi terhadap emas.
Malah, jelasnya, permintaan untuk emas juga kukuh dengan bank pusat membeli logam berharga itu bagi melindung nilai mata wang mereka.

“Permintaan emas terus meningkat. Emas bukan saja dibeli oleh bank pusat, malah peruncit berikutan ketidaktentuan ekonomi, perang di Asia Barat serta Ukraine-Russia.

“Justeru, harga dijangka AS$2,200 seaun (tahun ini),” katanya ketika ditemui di Persidangan Emas Malaysia Edisi Kedua 2024 anjuran MGA di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tinjauan harga emas tahun ini.

Mengenai cadangan pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi seperti barang kemas, Louis berkata, MGA mencadangkan paras ambang yang wajar bagi pelaksanaan cukai itu terhadap barang kemas ialah RM50,000 dengan kadar lima peratus.

Beliau berkata, pihak industri bimbang mengenai impak pelaksanaan cukai itu memandangkan penetapan paras ambang yang kurang tepat boleh menjejaskan pekerjaan dalam industri itu.

“Industri barang kemas sangat penting untuk pasaran Malaysia. Kita mempunyai ribuan kedai barang kemas dan ribuan kilang barang kemas.

“Jika penetapan paras ambang tidak tepat, ia akan menjejaskan pasaran. Jadi, kami harap kerajaan mempertimbangkan paras ambang tinggi dan kadar yang rendah,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2024, diumumkan bahawa kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

Loading...
Terkini