comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permintaan tinggi, tukang emas ambil caj premium lebih RM400 segram

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tukang emas mengambil caj premium untuk barang perhiasan emas dengan kadar berterusan mencecah lebih RM400 segram ketika permintaan sedang meningkat.

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Wira Louis Ng, berkata kenaikan harga emas dan kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan aktiviti jual beli meningkat secara mendadak, membuatkan tukang emas mengenakan premium kepada harga emas semasa.

Bernama melaporkan harga fizikal emas, setakat 9.30 pagi ini, berada pada RM354.91 segram, naik RM1.55 daripada RM353.36 pada 5.00 petang semalam.

“Mereka yang membeli emas lebih awal kini melihat keuntungan, malah ada yang menjual jongkong emas dan barang kemas mereka. Ini telah membawa kepada persekitaran dagangan yang kukuh di Malaysia,” kata Ng kepada Business Times.

Keahlian MGA bukan sahaja termasuk peruncit emas tetapi juga pemain utama merentasi sektor perlombongan, penapisan, penempaan, perdagangan, pertukangan barang kemas, pajak gadai, pengujian dan logistik.

Persatuan Tukang Emas India Malaysia (MIGJA) dan Gabungan Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Malaysia (FGJAM) adalah antara ahlinya.

Ng berkata, walaupun harga emas kekal menghampiri paras tertinggi dalam sejarah berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat, beliau memberi amaran bahawa harga logam berharga itu boleh jatuh segera memandangkan harga emas mempunyai kecenderungan mengalami pembetulan drastik.

Harga emas semerta mencecah paras tertinggi AS$2,431.29 pada Jumaat lalu.

Citi dalam notanya kepada pelabur mengunjurkan harga emas didagangkan pada AS$3,000 setiap auns dalam tempoh enam hingga 18 bulan akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini