Tumpuan :
Detik Niaga

Permodalan pasaran lepasi RM2 trilion, bukti pemulihan ekonomi Malaysia – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – FOTO: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Peningkatan dalam permodalan pasaran ekuiti Malaysia yang telah melepasi RM2 trilion (AS$450 bilion) membuktikan pemulihan ekonomi negara yang berterusan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata asas untuk mengekalkan keyakinan ini ialah rangka kerja kawal selia yang teguh untuk mengekalkan pasaran yang adil dan teratur, dengan peluang pengumpulan dana dan pelaburan yang pelbagai dan menyeluruh, merentas ekuiti, derivatif, bon dan sukuk.

“Justeru, saya perlu memberi pujian kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia berikutan usaha berterusan dalam memastikan pasaran modal kita berkembang maju dan kekal menarik kepada pelabur,” katanya.

Ucaptama Datuk Seri Anwar dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Perhimpunan Agung World Federation of Exchanges (WFE) ke-63 hari ini.

Di Malaysia, Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) yang diumumkan baru-baru ini menetapkan piawaian asas untuk kemampanan.

Ini sejajar dengan Piawaian Pendedahan Kemampanan di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS).

Rangka kerja NSRF memberi hala tuju jelas masa hadapan untuk pelaporan kemampanan oleh syarikat tersenarai awam dan tidak tersenarai.

Tambah Datuk Seri Anwar, dunia menyaksikan penggunaan pesat teknologi digital termasuk rantaian blok dan kecerdasan buatan, yang secara asasnya membentuk semula pasaran modal.

Revolusi digital ini membawa peluang yang besar tetapi juga memerlukan rangka kerja tadbir urus yang teguh untuk memastikan kestabilan pasaran dan perlindungan pelabur.

Beliau turut menekankan galakan inovasi, kerana ia mendorong minat kepada pasaran termasuk penyertaan runcit.

Pada akhir 2022, penyertaan runcit hanya menyumbang 25.7 peratus daripada nilai yang didagangkan di Bursa Malaysia.

Peningkatan penglibatan pelabur runcit akan menjadikan pelaburan ekuiti sebagai sumber penciptaan kekayaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini