comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permohonan ATR suku ketiga melonjak 81 peratus disebabkan permintaan di destinasi Asia Pasifik

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melaporkan permohonan hak trafik udara (ATR) mengalami lonjakan sebanyak 81 peratus pada suku ketiga (S3) 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Permohonan untuk ATR juga naik 18.8 peratus berbanding suku sebelumnya (S2 2022), kata MAVCOM dalam satu kenyataan hari ini sempena dengan penerbitan terbaharu laporan ATR bagi suku ketiga 2022.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata peningkatan yang berterusan dalam permohonan dan kelulusan ATR sepanjang tahun lalu dan untuk tiga suku pada tahun ini mencerminkan kemajuan positif dalam pemulihan sektor penerbangan Malaysia.

“Ini disebabkan oleh pembukaan semula sempadan serantau dan antarabangsa secara beransur-ansur, penyebaran COVID-19 yang semakin berkurangan, pengaktifan semula pesawat oleh syarikat penerbangan, dan peningkatan dalam perkhidmatan penumpang ke destinasi-destinasi didorongi oleh permintaan terpendam,” kata beliau.

Pada S3 2022, suruhanjaya telah meluluskan 34 daripada 38 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan, dengan semua permohonan ATR domestik diluluskan.

Daripada 34 ATR yang diluluskan, Batik Air Malaysia dan AirAsia X telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi masing-masing berjumlah 10 ATR, diikuti oleh MABKargo dengan lima ATR.

MAVCOM berkata pihaknya mengambil kira beberapa syarat semasa membuat peruntukan ATR, termasuk permintaan awam, kualiti perkhidmatan, daya maju ekonomi penerbangan yang dicadangkan, dan tahap persaingan terutama di laluan antarabangsa. – BERNAMA

Loading...
Terkini