Oleh: Afrina Romzi
TOKYO: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) optimis akan mencapai sasaran jualan 314,000 unit tahun ini, disokong penambahbaikan dalam kecekapan pengeluaran.
Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, berkata syarikat telah berjaya mengeluarkan 245,341 unit setakat September, meningkat 18.6% berbanding tahun lalu.
Manakala pendaftaran terkini Perodua mencatat 233,227 unit berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama 2022. Model jualan tertinggi setakat September didahului Bezza, diikuti Axia dan Myvi.
“Pembekal, vendor, rantaian bekalan telah dapat mempercepat (pengeluaran) kami. Setakat ini tiada isu dari mereka. Jadi saya berharap dalam tiga bulan (suku akhir) akan datang jika tidak ada apa-apa halangan, insya-Allah kami boleh mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita sempena Pameran Mobiliti Jepun 2023.
Perodua juga melaporkan kenaikan jualan 28.3% bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit berbanding 2022, manakala pengeluaran mencatat 91,528 unit kenderaan dengan peningkatan 21.7%.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad Suhaimi berkata perubahan pemegang saham kepada Sime Darby Bhd tidak memberi kesan ketara kepada Perodua.
“Untuk kami, bisnes seperti biasa, tiada kesan ketara kerana ia (pengambilalihan) antara UMW dan Sime Darby. Tiada juga sebarang kenyataan berkenaan kami daripada Sime Darby. Setakat ini tiada, jadi kami akan menunggu untuk itu,” katanya.
Sime Darby kini dalam proses pengambilalihan 61.2% pegangan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam UMW Holdings Bhd dengan bayaran tunai RM3.57 bilion atau RM5 setiap saham.
UMW ialah pemegang saham terbesar dalam Perodua sebanyak 38%, diikuti Daihatsu pada 25%, MBM Resources Bhd 20%, PNB 10%, Mitsui & Co 7%.