comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PERODUA pecah rekod jualan tertinggi dalam sejarah

FOTO: NSTP

RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melakar sejarah apabila merekodkan jualan tertinggi 282,019 unit tahun lalu, melonjak 48.2 peratus berbanding 190,291 unit yang didaftarkan pada 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pencapaian terbaik sejak penubuhannya pada 1993 itu diraih selepas berjaya menempuh cabaran besar sepanjang tahun lalu termasuk pemulihan ekosistem akibat daripada banjir besar, kekurangan pekerja akibat lonjakan kes COVID-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.

Katanya, pengeluar kereta nasional itu turut mencipta rekod dengan mengeluarkan 289,054 unit kenderaan tahun lalu, melonjak 49.5 peratus daripada 193,400 unit pada 2022, manakala perkhidmatan selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta, meningkat sebanyak 30 peratus daripada dua juta pengambilan servis pada 2021.

“Industri banyak belajar ketika melalui fasa pandemik dan kami menyedari perlu mengambil langkah yang proaktif untuk pulih pada 2021, yang mana menyaksikan pelbagai cabaran dan daripada itu kami memaksimumkan potensi ekosistem pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin berkata, dengan perancangan yang betul, PERODUA dan rakan niaganya bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini, tetapi memperoleh pertumbuhan yang sangat diperlukan untuk industri.

“Matlamat kami adalah untuk memenuhi jangkaan pelanggan terhadap kami bukan sahaja dari segi penyampaian produk dan perkhidmatan tetapi juga dalam memperkenalkan tawaran nilai yang lebih hebat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya, 2022 terbukti menjadi tahun terbaik setakat ini buat PERODUA secara khususnya dan industri automotif Malaysia amnya.

“Ini boleh dilihat pada prestasi pengeluaran dan jualan Disember 2022, yang mana secara puratanya 1,000 kenderaan dikeluarkan dan didaftarkan setiap hari,” katanya.

Zainal Abidin berkata, industri automotif Malaysia mampu memaksimumkan potensinya menerusi tanggungjawab bersama untuk memenuhi jangkaan pelanggan dalam pelbagai aspek tahun lalu, menghasilkan rekod prestasi terbaik buat PERODUA setakat ini.

“Pencapaian ini juga menjadi komitmen bersama ekosistem tempatan kepada pelanggan dan peranan kami bersama untuk memajukan industri ini,” katanya.

Bagi 2023, beliau berkata, PERODUA dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran.

Dalam merealisasikannya, katanya, syarikat itu berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus dan pada masa yang sama, pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri.

“Buat masa ini, sekiranya faktor ini kekal pada paras yang wajar, PERODUA akan mengekalkan harga kenderaannya.”Keutamaan kami ketika ini adalah untuk menghantar kenderaan PERODUA kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Zainal Abidin menegaskan, PERODUA akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga, iaitu pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif,” katanya sambil menambah PERODUA akan mengumumkan senarai penuh sasaran pada bulan ini.

Loading...
Terkini