comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PERODUA pecah rekod jualan tertinggi sejak ditubuhkan

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) merekodkan pencapaian terbaik dalam sejarah dari aspek prestasi pengeluaran, jualan bulanan dan tahunan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta kompak nasional yang kini bergerak pantas dalam memenuhi setiap permintaan, merekodkan jualan berjumlah 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini, melepasi sasaran tahunan keseluruhannya iaitu 247,800 unit yang diumumkan pada awal tahun ini, rekod jualan tertinggi PERODUA sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1993.

“Pencapaian jualan ini adalah seiring dengan prestasi pengeluaran kami setakat tahun ini, yang berjumlah 258,960 unit. Kami juga berjaya mencapai pengeluaran bulanan tertinggi sejak penubuhan iaitu sebanyak 29,149 unit.

“Pencapaian ini memberi makna pada semua peringkat; yang pertama ia menunjukkan keupayaan kami dalam memaksimumkan sumber semasa, baik di PERODUA mahupun pembekal dalam ekosistem kami.”Kedua ialah melalui pencapaian ini, kami kini menyedari boleh meningkatkan lagi operasi, dalam jualan dan pengeluaran tanpa perlu melabur untuk kilang baharu atau mendapatkan kawasan tanah yang luas bagi operasi pembuatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan PERODUA meningkat sebanyak 50 peratus kepada 250,795 daripada 167,250 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan jualan berbanding tempoh yang sama tahun lalu adalah disebabkan oleh sekatan pergerakan akibat COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan antara Jun hingga pertengahan Ogos 2021.

Jualan bulanan juga mencatatkan rekod baharu dengan 28,592 unit pada November 2022, iaitu peningkatan 40.9 peratus jika dibandingkan dengan 20,299 unit yang dijual pada November 2021, dan peningkatan 10.6 peratus jika dibandingkan dengan 25,849 unit yang dijual pada Oktober tahun ini.Tiga model teratas PERODUA yang dijual pada November ialah Bezza dengan 8,089 unit, diikuti Myvi dengan 6,624 unit dan Axia dengan 5,812 unit.

Zainal Abidin berkata, PERODUA akan meneruskan momentum jualan dan pembuatannya untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Perodua lebih cepat.”Ini juga bagi memastikan mereka yang menempah kenderaan PERODUA dalam tempoh masa pengecualian cukai jualan akan mendapatkan kereta mereka sebelum 31 Mac 2023,” katanya.

Mengenai penetapan semula sasaran baharu tahun ini, beliau sebaliknya berkata pengeluar kereta kompak nasional itu akan mengumumkan jumlah sebenar tahunan keseluruhan pada Januari nanti.Zainal Abidin berkata, PERODUA akan terus melabur dalam menaik taraf operasinya dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemahiran warga kerjanya.”Kami juga akan bekerjasama secara rapat dengan pembekal dan pengedar untuk memastikan operasi mereka mampu memenuhi permintaan dan cabaran yang mendatang,” tambah beliau. – BERNAMA

Loading...
Terkini