comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Persahabatan erat 50 tahun Malaysia-China bawa tuah perdagangan 950 kali ganda

 

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR:  Tanggal 31 Mei 1974 menandakan detik bersejarah jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Seperti air dicincang tidak akan putus, hubungan 50 tahun semakin mekar, bukan sahaja ikatan diplomatik yang erat. Malah jaringan ekonomi yang kompleks dibina di mana kedua-dua pihak saling melengkapi.

Hubungan Malaysia-China bermula dengan lawatan Allahyarham Tun Abdul Razak ke Beijing, yang ketika itu dikenali sebagai Peking, pada Mei 1974.

Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

“Masa itu memang ramai orang yang bantah, negara China memang miskin, dan negara komunis lagi, siapa mahu jadi kawan dia? Tetapi ketika itu pemimpin kita berpandangan jauh,” kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Tan Sri T.C. Goh kepada TV3.

Dari tahun 1974, hubungan Malaysia-China semakin mengukuh dan dapat dibuktikan melalui perdagangan dua hala. China ialah rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.

Tahun lalu, peradagan dua hala Malaysia-China mencecah AS$190 bilion melonjak 950 kali ganda berbanding lima dekad lalu. Justeru, tidak mengejutkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat negara tembok besar itu sebanyak dua kali tahun lalu.

“Kepada rakan sejawat dan pemimpin perniagaan kami dari China dan ketua industri, izinkan saya katakan ini, rebutlah peluang yang ditawarkan dan manfaatkan hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 di Beijing, China pada 1 April 2023.

Pelbagai kerjasama turut terjalin, hasil hubungan akrab Malaysia-China, antaranya projek “Dua Negara, Taman Berkembar” dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, dalam satu kenyataan hari ini berkata China turut memainkan peranan dalam mempercepatkan pembangunan produktiviti baharu dan menyokong inisiatif Kerajaan Madani termasuk Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Kedua-dua negara ini ada kesinambungan atau kesefahaman yang unik yang kita boleh terus bekerjasama dan antaranya bukan sahaja kerajaan ke kerajaan, malah rakyat dan sektor swasta,” kata Tan Sri T.C. Goh.

Selain perdagangan, Malaysia dan China terus bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.

Sebanyak 18 bandar kembar telah dijalinkan antara China dan Malaysia. China telah menubuhkan konsulat jeneral di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu. Malaysia pula telah menubuhkan konsulat jeneral di Xi’an, Nanning, Kunming, Guangzhou dan Shanghai.

Selain itu, Pusat Pengajian Melayu China telah ditubuhkan di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing manakala kampus Universiti Xiamen, tujuh buah institut Konfusius dan sebuah kelas Konfusius telah ditubuhkan di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini