comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan ekonomi AS, China lonjak harga minyak

NEW YORK: Harga minyak meningkat hari ini, disokong oleh pertumbuhan luar jangkaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan harapan pemulihan pantas permintaan di China apabila kes serta kematian akibat COVID-19 jatuh mendadak daripada paras kemuncak bulan lalu.Niaga hadapan Brent menokok 18 cents, atau 0.2 peratus, kepada $87.65 setong, manakala minyak mentah AS meningkat 22 cents kepada $81.23 setong, kenaikan sebanyak 0.4 peratus.Kedua-dua penanda aras melonjak lebih daripada satu peratus semalam.

Harga minyak hampir tidak berubah berbanding penutup urus niaga Jumaat minggu lalu. Jika harga minyak ditutup lebih tinggi, ia menjadi kenaikan harga minyak mentah minggu ketiga berturut-turut.

“Harga minyak berdepan kesukaran untuk mengalami pergerakan besar mengakhiri minggu ini, memandangkan ramai pelabur terpaksa menunggu untuk melihat perkembangan dua acara besar minggu depan; mesyuarat maya OPEC+ (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu) mengenai output serta keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC),” kata penganalisis kanan pasaran OANDA, Edward Moya.

Delegasi OPEC+ akan bermesyuarat minggu depan untuk menyemak semula paras pengeluaran minyak mentah, di tengah-tengah sokongan stabil harganya daripada permintaan kukuh bagi bahan api jet dan diesel.

Rizab Persekutuan (Fed) pula akan membuat keputusan mengenai satu lagi kenaikan kadar faedah, apabila inflasi mulai reda dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat.

Kenaikan harga minyak mentah AS dihadkan oleh penambahan 4.2 juta tong simpanan di Cushing, hab penentuan harga niaga hadapan minyak NYMEX, awal minggu ini.

Bagaimanapun, pasaran minyak disokong oleh keyakinan meluas pada hari pertama pasaran saham China bermula semula, dengan pembukaan negara itu masih memainkan peranan penting untuk meningkatkan tinjauan permintaan, kata penganalisis CMC Markets, Tina Teng.

“Faktor bulis jangka pendek adalah gangguan yang berlaku di kemudahan penapisan AS baru-baru ini membantu meningkatkan harga petrol, walaupun inventori minyak mentah negara itu mencecah tahap tertinggi dalam 16 bulan,” kata Teng.

Reuters

Loading...
Terkini