comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan ekonomi suku keempat 2023 dijangka pada 3.4%

KUALA LUMPUR: Ambank Group mengunjurkan pertumbuhan suku keempat 2023 negara pada 3.4 peratus sama seperti unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berikutan pengembangan ekonomi yang kukuh dan berterusan dipacu oleh produktiviti tinggi buruh dan jualan perdagangan yang bertambah baik.

Ketua ahli ekonominya, Firdaos Rosli berkata, Ambank mengandaikan pertumbuhan ekonomi Malaysia itu disokong oleh inflasi rendah dan peningkatan kecil perdagangan luar pada suku keempat 2023.

“Perlu diingatkan bahawa pertumbuhan eksport kekal lemah pada suku tersebut, manakala pengeluaran perindustrian terjejas oleh permintaan luar yang lembap dalam kalangan rakan dagangan utama Malaysia, seperti China dan Kesatuan Eropah.

“Eksport suku tahunan Malaysia ke China negatif sejak lima suku lepas, pertumbuhan negatif paling lama pernah dicatatkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Menurut anggaran awal DOSM, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Suku Keempat 2023 Malaysia berada pada 3.4 peratus berdasarkan kepada output atau pengeluaran dan pendekatan sektoral.

Firdaos berkata dengan mengandaikan pertumbuhan Suku Keempat 2023 pada 3.4 peratus, bank itu juga sependapat dengan DOSM bahawa ekonomi negara berkembang pada 3.8 peratus bagi tahun penuh 2023, lebih rendah berbanding unjuran terdahulu bagi suku tersebut pada 4.1 peratus dan tahun penuh pada 4.0 peratus.

“Bagi Suku Pertama 2024, kami mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang pada 4.3 peratus yang bakal menjadi perintis bagi lantunan semula pada tahun ini. Kami juga yakin dengan prospek pertumbuhan Malaysia pada 2025 dan kami mengunjurkan negara mencatatkan pertumbuhan KDNK pada 4.5 peratus,” katanya.

Menurutnya, Ambank yakin eksport akan pulih pada 2024 kerana kitaran teknologi global dilihat telah mencapai paras terendahnya.

“Petunjuk pasaran menunjukkan bahawa industri semikonduktor mencecah paras terendahnya pada akhir separuh pertama 2023 dan sejak itu mula berada di landasan pemulihan, yang seterusnya memberikan prospek positif bagi 2024.

“Bagaimanapun, kami masih mengambil pendekatan berhati-hati susulan rasionalisasi subsidi yang mungkin akan menurunkan anggaran kami disebabkan inflasi tinggi,” katanya.

Mengenai dasar monetari Firdaos berkata Ambank tidak menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengubah kadarnya.

Ini berikutan inflasi keseluruhan di Malaysia terus mereda pada 1.5 peratus pada Disember 2023 manakala infllasi teras turun di bawah dua peratus dan inflasi tahun kewangan 2023 berada pada 2.5 peratus, susut daripada 3.4 peratus pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini