comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan menggalakkan kekal momentum pengembangan ekonomi – Perangkaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan situasi pasaran buruh di Malaysia yang semakin stabil dapat mengekalkan momentum pengembangan ekonomi negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, didorong oleh prestasi yang menggalakkan dalam semua sektor ekonomi terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh dalam pasaran buruh dan daya tahan dalam permintaan luaran.

“Asas yang rendah pada suku ketiga tahun sebelumnya turut menyumbang kepada pertumbuhan ini,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 11/2022 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata pada September 2022, jumlah dagangan meningkat sebanyak 31.4 peratus (RM256.9 bilion) berbanding RM195.5 bilion pada September 2021.

Eksport mencecah RM144.3 bilion, meningkat 30.1 peratus, manakala import mencatatkan RM112.6 bilion dengan pertumbuhan 33.0 peratus tahun ke tahun.

“Imbangan dagangan menokok 20.9 peratus (RM31.7 bilion) berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah perdagangan Malaysia kekal mencatatkan pertumbuhan dua digit pada Oktober 2022 iaitu tumbuh 21.1 peratus dan mencecah RM245.2 bilion berbanding RM202.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Melihat kepada prestasi sektoral, Mohd Uzir berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada suku ketiga 2022 mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Beliau berkata tenaga buruh terus meningkat pada suku ketiga 2022, mencatatkan 16.44 juta orang berbanding 16.2 juta orang pada suku sama tahun lepas.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat sebanyak 1.1 mata peratus kepada 69.4 peratus berbanding suku yang sama tahun 2021 (68.3 peratus).

“Pada masa sama, KPTB pada suku tahun ini melepasi paras prapandemik dan merupakan kadar tertinggi yang pernah direkodkan berbanding suku keempat 2019 sebanyak 69.1 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata faktor luaran kekal sebagai cabaran utama terutamanya dari segi kenaikan harga disebabkan krisis Rusia-Ukraine dan kekurangan dalam pengeluaran atau rantaian bekalan disebabkan pandemik COVID-19.

Beliau berkata Indeks Pelopor (IP) pada September kekal melebihi 100.0 mata, merekodkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus atau 0.3 mata untuk mencatatkan 109.9 mata berbanding 109.6 mata pada September 2021.

“Justeru, ekonomi Malaysia dijangka berada di landasan yang betul walaupun ekonomi global tidak menentu.

“Selain itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan menunjukkan perniagaan kekal optimis pada suku keempat 2022, dengan penunjuk keyakinan terus mencatatkan momentum positif sebanyak 3.2 peratus selepas mencatatkan 4.7 peratus pada suku ketiga 2022,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini