comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan pinjaman terus meningkat, atasi simpanan pada Januari – RHB Research

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pinjaman dalam sistem perbankan negara terus meningkat, mengatasi pertumbuhan deposit pada Januari 2024, kata penganalisis.

Namun, petunjuk pemberian pinjaman memaparkan permintaan lebih rendah secara berturutan daripada segmen perniagaan.

RHB Research berkata, pinjaman pada Januari 2024 berkembang 5.7 peratus dari tahun ke tahun dan 0.3 peratus dari bulan ke bulan.

Ia berkata, dari tahun ke tahun, peningkatan itu dipacu oleh pinjaman kepada sektor isi rumah (enam peratus), kewangan (13 peratus) dan pembuatan (lima peratus), yang mengimbangi penurunan pinjaman yang diberi kepada sektor pembinaan, pertanian dan utiliti.

Berdasarkan bulan ke bulan pula, pinjaman isi rumah menokok 0.6 peratus, manakala pinjaman perniagaan dilihat mendatar (-0.2 peratus) akibat kemerosotan jumlah pinjaman kepada sektor utiliti (penyusutan enam peratus).

“Unjuran pertumbuhan pinjaman sistem kami sebanyak 4.5 peratus hingga lima peratus untuk 2024 dikekalkan, namun kami ingin menekankan bahawa daripada sesi taklimat yang dihadiri baru-baru ini, permintaan pinjaman kelihatan bagus dan mungkin terdapat potensi untuk unjuran kami menaik,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada Januari 2024 memperlihatkan pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem merosot dari suku ke suku tahunan sementara nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) terus meningkat apabila CASA berkembang dengan lebih pantas.

RHB Research berkata, sistem perbankan masih cair, dengan nisbah pinjaman berbanding deposit (LDR) mencecah 86 peratus dan nisbah liputan kecairan pada 160 peratus.

Bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pinjaman berkembang lapan peratus pada Disember 2023, didorong terutamanya oleh sektor pengangkutan dan perdagangan borong dan runcit.

Nisbah GIL bagi PKS pula menyusut secara berturutan, namun ia masih mencecah tahap yang tinggi iaitu 3.07 peratus berbanding November 2023 pada 3.12 peratus dan Disember 2022 pada 2.88 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini