comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peruntukan RM9.5 juta projek tanaman baharu & pemulihan kebun koko

(Kiri) Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd pada majlis pelancaran produk Kit Kat Dark Borneo, Juan Aranols hari ini. – FOTO: KPK

Oleh Afrina Romzi

NILAI: Kerajaan memperuntuk RM9.5 juta untuk melaksanakan projek Tanaman Baharu Koko seluas 350 hektar dan projek Pemulihan Kebun Koko seluas 2,126 hektar menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggalakkan tanaman secara skala besar, melalui kerjasama agensi kerajaan dan syarikat perladangan swasta.

“Industri koko telah menyumbang sebanyak RM8.2 bilion kepada hasil eksport negara. Namun begitu, angka ini tidaklah memberi gambaran yang lengkap kerana Malaysia adalah pengimport bersih koko.

“Pada 2023, Malaysia hanya menghasilkan 270 tan biji koko manakala mengimport sebanyak 533,000 tan biji koko. Pengeluaran tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan industri.

“Biji koko yang diimport ini akan dikisar untuk tujuan eksport ataupun diproses untuk menghasilkan produk koko,” beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk Kit Kat Dark Borneo, dibuat secara eksklusif menggunakan biji koko yang ditanam di Sabah dan Sarawak hari ini.

Tambah beliau, industri koko mempunyai potensi besar dengan harga koko yang telah meningkat dengan mendadak sebanyak 200 peratus daripada sekitar RM9,000 bagi setiap tan pada 2023 kepada lebih RM28,000 bagi setiap tan pada April 2024.

Jelas, koko berpotensi untuk memberi pulangan yang lumayan kepada sekitar 5,317 pekebun kecil koko yang merangkumi 89 peratus (5,445 hektar) daripada kawasan tanaman koko di Malaysia.

“Industri koko memang banyak melibatkan banyak pekebun kecil, sebab tidak memerlukan plot tanah yang besar, satu hektar, dua hektar. Berbanding kelapa sawit, 73 peratus bergantung kepada ladang besar.

“Untuk itu, industri koko ini akan memberi lebih manfaat kepada pekebun kecil. Kita berhasrat untuk meningkatkan hasil untuk eksport dan mengurangkan import biji koko ke dalam negara,” jelas beliau kepada media berkenaan hasratnya untuk meningkatkan hasil koko supaya setanding dengan kelapa sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini