comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Petra Energy dapat kontrak lapangan Banang daripada PETRONAS

Petra Energy Bhd .

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) menganugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Hayat Lewat (LLA PSC) untuk lapangan minyak Banang yang terletak di luar pesisir Semenanjung kepada Petra Energy Development Sdn Bhd (PEDSB).

PEDSB yang juga anak syarikat milik penuh Petra Energy Bhd adalah pengendali penuh lapangan minyak itu.

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, pengaturan LLA PSC yang bermula 1 Jun 2024 adalah perjanjian baharu untuk menggantikan Perjanjian Perkhidmatan Teknikal (TSA) dengan PEDSB untuk menguruskan operasi pengeluaran lapangan minyak Banang bagi pihak Petronas yang berakhir pada 31 Mei 2024.

Naib Presiden Kanan MPM Petronas, Datuk Ir Bacho Pilong, berkata penganugerahan LLA PSC Banang adalah bukti komitmen syarikat minyak nasional itu dalam membangunkan peserta minyak dan gas tempatan yang berpengalaman menjadi pengendali PSC Huluan sepenuhnya.

“PETRONAS berharap dapat meneruskan kerjasama dengan peserta industri dalam usaha menjadikan Malaysia pilihan pelaburan yang menarik,” katanya.

Medan minyak Banang telah telah mencapai pengeluaran minyak pertamanya pada 2014 sebagai sebahagian daripada Kontrak Perkhidmatan Risiko Medan Kecil Kluster Kapal, Banang dan Meranti dengan medan itu telah mencapai pengeluaran puncaknya sebanyak 14,000 tong sehari pada 2015.

Sebagai pemantau sumber hidrokarbon negara, MPM menyediakan pengawasan terhadap aktiviti petroleum huluan Malaysia dalam memenuhi permintaan tenaga pelanggan Petronas, sambil berusaha ke arah mencapai operasi pelepasan karbon rendah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini