
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas CCS Ventures Sdn Bhd, menandatangani Lembaran Terma dengan Mitsui O.S.K Lines Ltd (MOL) dan MISC Bhd bagi potensi penubuhan entiti usaha sama untuk melabur dalam pembangunan dan penjanaan keuntungan kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2) bagi projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Malaysia.
Menurut kenyataan Petronas pada Jumaat, kesemua pihak bersetuju secara prinsip terhadap terma komersial utama untuk membolehkan kemajuan ke peringkat seterusnya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata kapal pengangkut LCO2 penting untuk rantaian nilai CCS menghubungkan pelanggan kepada tapak penangkapan dan lokasi penyimpanan karbon.
“Perkongsian kami dengan MOL dan MISC merupakan sinergi yang amat kuat dengan mempunyai pelbagai kepakaran, sumber yang banyak serta nilai bersama.
“Menerusi penggabungan kelebihan masing-masing, kami akan dapat memudahkan pembangunan dan seterusnya merealisasikan pengangkutan CO2 cecair secara selamat dan mampan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Petronas menjelaskan berdasarkan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dengan MOL pada Februari 2022 serta empat Kelulusan Secara Prinsip (AiP) untuk reka bentuk konseptual kapal pengangkut LCO2 pada Jun 2023, Lembaran Terma itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi CCS sebagai pendorong utama dalam aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Petronas menjelang 2050.