comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS dijangka terus raih pendapatan kukuh – CreditSights

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pendapatan PETRONAS dijangka kekal kukuh disokong oleh permintaan tinggi terhadap bahan api pengangkutan, demikian kata CreditSights.

Firma penyelidik kewangan berkata, kemasukan pelancong sejak pembukaan semula sempadan pada Mac 2022 akan terus menyokong permintaan bahan api pengangkutan.

CreditSights juga mengekalkan saranan ‘prestasi pasaran’ terhadap syarikat minyak dan gas nasional itu dan menyatakan ia amat selesa dengan kredit, yang mana PETRONAS mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dan penjanaan aliran tunai operasi yang teguh.

Justeru, ia menjangkakan pendapatan PETRONAS kekal memberangsangkan pada suku pertama 2023, ditambah pula dengan fakta bahawa bonnya didagangkan secara adil berdasarkan nilai relatif.

“Syarikat itu menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 49 peratus tahun ke tahun kepada RM333 bilion pada tahun kewangan 2022, terutamanya didorong oleh harga produk yang lebih tinggi di semua bahagian, mengimbangi sedikit penurunan dalam jumlah jualan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

CreditSights berkata, PETRONAS mengekalkan profil kredit yang teguh, aliran pendapatan geografi yang pelbagai dan sokongan kerajaan Malaysia.

Ia berkata, syarikat minyak dan gas nasional itu diamanahkan keseluruhan sumber minyak dan gas di Malaysia dan menyediakan sumber pendapatan yang besar kepada kerajaan, justeru berkongsi hubungan yang sangat kuat dengannya.

Katanya, walaupun PETRONAS mengekalkan rizab tunai dan kedudukan tunai bersih yang besar, lazimnya ia perlu membayar dividen kepada kerajaan, yang mungkin menekan aliran tunainya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini