comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas Gas untung RM456.65 juta, umum dividen 16 sen

Petronas Gas Bhd (PetGas).

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) naik kepada RM456.65 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 daripada RM424.18 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu berikutan perbelanjaan penggunaan gas bahan api dan gas dalaman yang lebih rendah dan harga gas bahan api yang rendah.

Perolehan, bagaimanapun, merosot kepada RM1.62 bilion daripada RM1.67 bilion sebelum ini, sebahagian besarnya berikutan pendapatan yang rendah daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang rendah, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat infrastruktur gas dan utiliti itu turut mengumumkan dividen interim sebanyak 16 sen sesaham, dibayar pada 27 Jun 2024.

Mengenai masa depan, PetGas menjangka prestasinya pada 2024 kekal baik, disokong oleh kontrak yang menjana pendapatan stabil dan prestasi operasi yang mampan.

“Perjanjian pemprosesan gas penggal ketiga baharu dan pelarasan tarif yang diluluskan untuk segmen pengangkutan gas bagi perubahan kepada penggunaan gas dalaman berkuat kuasa 1 Jan 2024, dijangka menyokong pendapatan kumpulan yang baik,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetGas, Abdul Aziz Othman dalam kenyataan berasingan berkata, walaupun kos persekitaran perniagaan meningkat berikutan peningkatan harga rujukan Malaysia (MRP) dan harga komoditi, prestasi PetGas yang kukuh pada suku pertama 2024 mencerminkan daya tahan kumpulan.

“Kami menjangka dapat mengekalkan prestasi yang baik selain terus mengejar peluang yang dikenal pasti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini