comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas Meterai PSC dua kluster pacu bekalan gas di semenanjung Malaysia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Petronas menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), hari ini memeterai kontrak perkongsian pengeluaran bagi dua kluster peluang sumber ditemui (DRO) yang terletak di pesisiran Semenanjung Malaysia.

Kluster BIGST (Bujang, Inas, Guling, Sepat dan Tujoh) telah dianugerahkan kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan JX Nippon Oil & Gas Exploration (BIGST) Sdn Bhd dengan kepentingan minat penyertaan masing-masing dalam PSC sebanyak 50 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara itu berkata Kluster Tembakau dianugerahkan kepada IPC Malaysia BV dan IPC SEA Holding BV dengan minat kepentingan penyertaan sebanyak 90 peratus dan 10 peratus.

Naib Presiden Kanan MPM Petronas Datuk Bacho Pilong berkata pemeteraian kontrak bagi kluster DRO BIGST dan Tembakau, hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi penggiat industri yang berhasrat mengembangkan lagi portfolio tenaga dan memacu peralihannya.

“Penganugerahan ini berserta pemeteraian tujuh kontrak perkongsian pengeluaran baharu atau PSC pada awal tahun ini, adalah hasil daripada usaha berterusan MPM dalam menggalakkan hiliran Malaysia selain menjadi bukti terhadap keyakinan ke atas industri cari gali dan pengeluaran negara ini.

“Selain pembangunan sumber yang kekal penting dalam memastikan keterjaminan tenaga, kami juga berusaha ke arah mencapai sasaran dalam aspek menguruskan pelepasan daripada operasi. Inilah alasannya kami menyepadukan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) menjadi sebahagian daripada Kluster BIGST,” katanya.

Kluster itu yang dianugerahkan terma fiskal inovatif bagi menarik usaha penjanaan sumber kompleks, kini matang untuk dimajukan dan menjadi pembangunan gas karbon dioksida tinggi pertama di Semenanjung Malaysia yang merangkumi teknologi CCS sebahagian daripada penawaran nilainya.

“Bekalan gas daripada medan ini penting bagi jaminan tenaga rantau ini kerana turut merancakkan pembangunan medan lain,” kata Petronas.

Selain itu, Kluster Tembakau adalah penyertaan baharu kepentingan sedia ada IPCM di Malaysia yang melibatkan dua medan gas belum dibangunkan (Tembakau dan Mengkuang) yang dianugerahkan sebagai aset lapangan kecil PSC dan menggabungkan model fiskal dan proses tadbir urus yang dipermudah.

“Penjanaan pengewangan kluster-kluster ini dengan anggaran penemuan kira-kira empat trilion kaki padu standard (Tscf) daripada BIGST dan 260 bilion kaki padu standard (Bscf) daripada Kluster Tembakau, akan turut meningkatkan bekalan gas ke hab Semenanjung Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini