comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS raih untung RM21.3 bilion pada suku pertama

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21.3 bilion pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac di tengah-tengah ketidakstabilan berterusan dalam harga minyak dan gas global.

Ia adalah lebih rendah daripada keuntungan bersih RM23.8 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama setahun lalu tetapi lebih tinggi daripada RM16.6 bilion pada suku keempat 2023.

Pendapatan kumpulan meningkat sedikit dari tahun ke tahun kepada RM89.7 bilion daripada RM89.3 bilion sebelum ini.

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) berjumlah RM36.2 bilion, manakala aliran tunai dari aktiviti operasi turun RM2.1 bilion kepada RM23.4 bilion selaras dengan keuntungan yang lebih rendah.

Bagi perbelanjaan modal (capex), syarikat minyak negara itu berkata ia berjumlah RM10.7 bilion sepanjang suku berkenaan, terutamanya disebabkan oleh projek gas dan huluan.

“Ini termasuk Projek LNG Canada yang sedang berjalan, La Amarga Chica di Argentina serta Projek Nearshore Floating LNG dan Kemudahan Kasawari CO2 Sequestration di Malaysia. Capex domestik meningkat sebanyak 20 peratus,” tambahnya.

Jumlah aset PETRONAS meningkat kepada RM796.3 bilion setakat 31 Mac 2024.

Ekuiti pemegang saham kumpulan menurun kepada RM434.4 bilion setakat 31 Mac tahun ini, disebabkan oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 bilion.

PETRONAS berkata untuk suku pertama 2024, pasaran minyak dan gas terus terjejas oleh ketidakstabilan makroekonomi dan dinamik geopolitik di tengah-tengah peralihan tenaga yang membawa kepada landskap harga yang tidak stabil.

“Kumpulan akan terus melaksanakan semua usaha untuk menangani peningkatan ketidakstabilan pasaran, sambil memenuhi jangkaan pihak berkepentingan.

“Selaras dengan strategi peralihan tenaga, PETRONAS sedang bergerak pantas untuk mengukuhkan Perniagaan Terasnya dengan terus menuju penyelesaian Pembangunan Medan Gas Kasawari di Malaysia dan kilang LNG di Kanada menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Petronas sedang memperluaskan perniagaan baharunya dengan penugasan projek solar yang pertama dihubungkan dengan sistem penghantaran antara negeri di India.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik berkata prestasi kewangan kumpulan yang stabil pada suku pertama menunjukkan pelaksanaan fokus terhadap strategi yang jelas untuk peralihan tenaga: membangunkan hidrokarbon dengan inisiatif dekarbonisasi yang terukur dan berkesan serta mengejar penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

Memandangkan kumpulan menjangkakan akan menghadapi cabaran yang semakin sukar untuk sepanjang tahun ini, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan memanfaatkan kekuatan portfolionya yang bersepadu untuk melabur semula dengan pantas dan berdisiplin.

“Kumpulan kekal teguh dalam pendekatannya untuk menjana pertumbuhan yang menguntungkan secara bertanggungjawab dan mampan. Pada setiap masa, PETRONAS akan terus mengamalkan pengurusan berhemat terhadap komitmen kewangan dan obligasi hutangnya,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini