comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS temui minyak di lapangan Sépia, Brazil

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: PETRONAS Petróleo Brasil Ltda (PPBL), sebuah anak syarikat PETRONAS mengumumkan penemuan minyak pertama di telaga 4-BRSA-1386D-RJS dekat lapangan minyak Sépia, Brazil. Telaga itu terletak di Santos Basin yang prolifik, kira-kira 250 kilometer di luar pantai Rio de Janerio, pada kedalaman perairan sekitar 2,000 meter. Kolum minyak bersihnya adalah antara yang paling tebal pernah direkodkan di Brazil.

Penemuan penting itu dibuat dalam Kawasan Penyertaan Bersama Sépia, yang meliputi kontrak Pemindahan Hak Sépia atau ToR (Petrobras, 100 peratus) dan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan ToR Sépia yang dianugerahkan kepada Petrobras (30 peratus), TotalEnergies (28 peratus), QatarEnergy (21 peratus) dan PBBL (21 peratus), dengan Pré-Sal Petróleo S.A. (PPSA) sebagai pengurus.

PPBL dan rakan konsortiumnya memenangi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Lebihan dalam Pusingan Bidaan Lebihan Hak yang diadakan di Rio de Janeiro pada 2021.Naib Presiden Penerokaan PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman, syarikat minyak dan gas nasional itu serta rakan perkongsian akan terus bekerjasama rapat, bersama-sama kerajaan Brazil, untuk merungkai lebih banyak pembinaan nilai dan pencapaian secara bersama.

“Kami amat bersemangat dengan penemuan penting di salah satu basin paling prolifik di dunia. PETRONAS juga akan meneruskan usaha menyahkarbon bagi membangun dan mengewangkan secara mampan lapangan Sépia, sambil mengukuhkan portfolio kami di negara itu.”Ini adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan global kami,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

PPBL ketika ini mempunyai kepentingan penyertaan dalam lapangan minyak perairan dalam Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Module III Espadarte (Konsesi Espadarte) terletak di Campos Basin, luar pesisir Brazil. Syarikat itu turut memegang kepentingan penyertaan dalam tiga lagi blok penerokaan perairan dalam di Campos Basin iaitu C-M-661, C-M-715 dan C-M-541. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini