comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pharmaniaga tumpu perniagaan antarabangsa, sektor swasta

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd, syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia, kekal fokus untuk mengukuhkan lagi segmen perniagaan antarabangsa dan sektor swasta yang menjadi pemacu pertumbuhan utama pada tahun ini.

Perniagaan antarabangsa Pharmaniaga di Indonesia yang diterajui oleh PT Millennium Pharmacon International Tbk (MPI), Jakarta dan PT Errita Pharma, Bandung mencatatkan prestasi cemerlang dengan peningkatan ketara keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) sebanyak RM5.53 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, berbanding RM900,000 pada sembilan bulan tahun kewangan 2021.

Operasi perniagaan Pharmaniaga dalam sektor swasta di Malaysia juga telah mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu sebanyak 55 peratus bagi sembilan bulan tahun kewangan 2022, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

Sektor ini dijangka terus berkembang apabila Pharmaniaga dapat menembusi pasaran penjagaan kesihatan di China melalui usaha kerjasama dengan JDMAS Commerce Sdn Bhd (JDMAS) untuk mengkomersialkanproduk ‘over-the-counter’ (OTC) dan farmaseutikal di JD.Com, platfom e-dagang terbesar di China.

Pengarah Urusan Kumpulan Phamaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata setakat ini, pasaran antarabangsa perniagaan di Indonesia kekal sebagai pemacu utama dengan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.

“MPI telah mencatatkan pertumbuhan yang baik, disokong oleh operasi yang cekap dan penggunaan teknologi digital. Ini dikukuhkan lagi dengan usaha berterusan untuk mempunyai stok produk yang optimum, kutipan pembayaran agresif serta peningkatan portfolio produk,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, Pharmaniaga mencatatkan pendapatan RM924.7 juta, peningkatan 21.5 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Syarikat turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) serta PAT masing-masing sebanyak RM15.6 juta dan RM9.4 juta, melonjak daripada RM4.5 juta dan RM900,000 pada suku kedua tahun kewangan 2022.

Bagi sembilan bulan tahun kewangan 2022, Pharmaniaga mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.65 bilion, manakala PBT dan PAT masing-masing berjumlah RM57.5 juta dan RM39.1 juta.Secara keseluruhannya, operasi perniagaan utama Pharmaniaga menunjukkan prestasi yang mampan.

Zulkarnain berkata, pertumbuhan perniagaan yang bagus oleh sektor swasta bagi produk OTC dan produk farmaseutikal telah meningkat hasil daripada usaha agresif pengiklanan serta promosi yang berterusan.

Katanya, pendapatan syarikat daripada sektor swasta turut meningkat sebanyak 57 peratus suku ke suku dan 55 peratus tahun ke tahun. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini