KUALA LUMPUR: Pinjaman sistem perbankan meningkat 4.2 peratus pada Julai berbanding setahun lalu dengan pertumbuhan mantap dicatatkan merentasi hampir semua tujuan pinjaman yang dibuat, kecuali pembinaan dan pembelian sekuriti.
RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, pinjaman segmen isi rumah yang meningkat lima peratus dan pinjaman bukan isi rumah yang meningkat dua peratus, berkembang dengan baik kepada paras menyamai prestasi bulan sebelumnya.
Walau bagaimanapun, katanya pinjaman sistem perbankan sejak awal tahun hingga sekarang hanya meningkat 1.6 peratus.
“Disebabkan oleh angka lebih rendah daripada jangkaan dan semakan menurun oleh ahli ekonomi RHB baru-baru ini terhadap ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar kepada 4.3 peratus daripada lima peratus, kami bertindak merendahkan ramalan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan kami kepada empat hingga 4.5 peratus daripada lima peratus,” kata bank pelaburan itu dalam nota berkenaan.
RHB Investment Bank berkata, kadar pemberian pinjaman purata pada Julai meningkat sebanyak dua mata asas kepada 5.46 peratus, iaitu paras yang kali terakhir dicatatkan pada 2009.
“Pembayaran pinjaman juga meningkat 5.4 peratus berbanding setahun lalu,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata, deposit sistem perbankan naik 5.3 peratus, lantas mengatasi pertumbuhan pinjaman semasa tempoh yang sama.
Hal ini masih didorong oleh deposit tetap (FD) yang meningkat 8.6 peratus, manakala akaun semasa & akaun simpanan (CASA) menguncup 4.2 peratus.
Akibatnya, nisbah CASA sistem jatuh sedikit pada Julai kepada 30.4 peratus berbanding 30.7 peratus pada bulan sebelumnya biarpun masih melepasi paras purata prapandemik antara 25 hingga 27 peratus.
“Bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, pinjaman berkembang enam peratus dan kebanyakannya ditingkatkan oleh sektor runcit dan kewangan.
“Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) PKS pula menaik sedikit kepada 3.03 peratus pada Jun,” katanya.