comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PM Anwar, Elon Musk bincang penyertaan SpaceX di Malaysia 

Oleh:Amanda Lopez

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan secara maya bersama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Anwar berkata perbincangan turut merangkumi penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink.

“Menerusi penyertaan SpaceX, ia yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.”

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” kata Datuk Seri Anwar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, turut menyertai sidang ini yang bermula 9.30 pagi selama kira-kira 25 minit di Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk yang juga CEO Tesla Inc. untuk datang ke Malaysia.

Tesla juga akan membuka Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla di Selangor tahun ini.

Ketika ini pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech sudah menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.

Malaysia turut akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

Loading...
Terkini