comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] PM dijadual bertemu tokoh korporat 7 syarikat gergasi Jepun 


Oleh: Amanda Lopez

TOKYO: Selepas Qatar, Republik Kyrgyz, Kazakhtan dan Uzbekistan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di Tokyo hari ini pada 7.30 petang waktu tempatan.

Ini adalah lawatan kerja kedua Perdana Menteri dalam tempoh enam bulan sejak Disember lalu bagi Sidang Kemuncak Peringatan sempena “50th Year of ASEAN-Japan Friendship and Cooperation”.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata tujuan utama lawatan kali ini adalah untuk menyampaikan ucaptama pada persidangan berprestij, 29th Nikkei Forum “Future of Asia”.

Persidangan antarabangsa ini menjadi penyertaan pertama beliau sebagai Perdana Menteri.

Anwar akan menyampaikan ucaptama dengan tema “Asian Leadership in an Uncertain World”.

“Justeru, sebenarnya untuk (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membuat kemunculan sulung dan memberi ucaptama dalam persidangan ini, bagi saya adalah satu penghormatan besar yang telah diberi kepada Perdana Menteri.” kata beliau dalam satu sidang akhbar bersama media tempatan di Kedutaan Malaysia di Tokyo, Jepun.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany

Forum Nikkei ini adalah persidangan tahunan antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi dan akademik dari rantau Asia-Pasifik bagi membincangkan dan menyuarakan pandangan, mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, terutamanya peranan Asia dalam mendepani cabaran dunia sejak 1995.

Semasa lawatan ini, Datuk Seri Anwar turut dijadual untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat Jepun beliau, Fumio Kishida.

Kata beliau, pertemuan ini akan memberi peluang untuk kedua-dua pihak menilai dan membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan yang terjalin selama 68 tahun antara Malaysia-Jepun serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Semasa pertemuan ini kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan beberapa perkara merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam transisi tenaga dan alam sekitar, kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kerjasama dengan pembinaan kapasiti dan pengajian tinggi. Juga isu-isu serantau dan antarabangsa” ujar beliau.

Ia juga disusuli dengan pertemuan tokoh korporat dari tujuh syarikat gergasi Jepun bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing ke Malaysia dan perkukuh hubungan perdagangan di antara dua negara.

Sesi ini dijadual diadakan selama 20 minit bagi setiap syarikat.

Yang dijadualkan, IHI Corporation, Misshin Oilio Group Ltd.,Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation & ENEOS Corporation, ENEOS Holding, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion, menyediakan 344, 120 peluang pekerjaan.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut.

Tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar juga akan mengadakan mesyuarat empat mata dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Beliau juga akan menyampaikan syarahan sempena memperingati Profesor Toshiko Izutsu, pakar pengajian islam dan perbandingan agama yang menjadi orang pertama menterjemah Al-Quran dari bahasa Arab ke bahasa Jepun pada tahun 1958.

Pada lawatan kerja Disember lalu, Shahril berkata Perdana Menteri telah melahirkan hasrat untuk memberi syarahan berkenaan.

Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan beliau dengan solat Jumaat di Tokyo Cammi Mosque sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini