comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PMI Malaysia tertinggi dalam tempoh 16 bulan – S&P Global 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:Keyakinan menyeluruh dalam kalangan pengeluar di Malaysia meningkat sedikit pada Januari 2024 berbanding Disember tahun lepas dalam keadaan isyarat permintaan yang lebih baik, menurut S&P Global hari ini.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim adalah 49.0 pada Januari, menokok berbanding 47.9 pada Disember, iaitu tertinggi sejak September 2022.

Sehubungan itu, angka terkini itu menunjukkan bahawa momentum kemerosotan pada tahun lepas beransur lenyap, menjadikan sektor pembuatan Malaysia berada di landasan bagi pemulihan secara beransur-ansur.

Menurut laporan itu, output dan pesanan baharu mereda dengan sederhana, manakala syarikat turut menyaksikan pengurangan kecil pesanan eksport baharu dan tunggakan.

S&P Global berkata, memandangkan permintaan memperlihatkan isyarat yang lebih baik, pengeluar mengurangkan pembelian input dan stok pembelian ke tahap lebih rendah, manakala tempoh penghantaran adalah semakin baik buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan.

Ahli Ekonomi S&P Global Market Intelligence Usamah Bhatti berkata data terkini sektor pembuatan Malaysia memberikan isyarat bahawa kemerosotan terburuk yang dialami pada 2023 telah berakhir, dengan data Januari menunjukkan tahap kesederhanaan yang berkurang dari segi keadaan operasi.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata output, pesanan baharu dan eksport semuanya dikurangkan ke tahap lebih rendah pada awal 2024, menunjukkan sedikit peningkatan bagi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dalam keadaan pengurangan tempahan baharu yang lebih perlahan, syarikat turut memperlihatkan penurunan tunggakan paling perlahan sejak Ogos 2022, menunjukkan tekanan kapasiti mula meningkat bagi syarikat pembuatan.

“Syarikat turut melaporkan tekanan harga yang semakin lemah pada Januari memandangkan harga input menokok pada kadar paling perlahan dalam tempoh lapan bulan. Ini menyumbang kepada peningkatan paling perlahan dari segi caj output sejak Ogos 2023,” katanya.

Dari segi harga, beban kos purata menyaksikan peningkatan berterusan, tetapi lebih lembap iaitu,  paling perlahan sejak Mei tahun lepas yang menyumbang kepada peningkatan terendah caj output sejak Ogos tahun lepas, kata S&P Global.

Melihat perkaitan antara PMI dan statistik KDNK rasmi, angka itu menunjukkan pertumbuhan KDNK tahun ke tahun menokok bermula akhir 2023, manakala data itu turut konsisten dengan peningkatan kecil pengeluaran pembuatan rasmi mengikut asas tahunan.

Pembuatan bagi pesanan baharu menyederhana untuk bulan ke-17 pada Januari, dengan kemerosotan terbaru ini adalah terendah sejak Oktober 2022.

Syarikat juga sering menyatakan bahawa persekitaran permintaan yang lemah mempengaruhi jualan walaupun sebahagian syarikat meraih peningkatan kecil pada awal 2024.

“Trend ini turut membabitkan sehingga permintaan antarabangsa memandangkan pesanan eksport baharu berkurangan pada kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan semasa berturut-turut,” katanya.

Permintaan yang lemah turut menjadi faktor utama di sebalik kelembapan seterusnya pengeluaran, yang menyusut untuk bulan ke-18, tetapi pada tahap terendah sejak April 2023.

Dari segi pekerjaan, ia adalah menyederhana untuk kali kelapan dalam tempoh sembilan bulan lepas pada Januari, bagaimanapun, kadar pemberhentian kerja adalah kecil.

Terdapat beberapa laporan mengenai tiada pengganti bagi pemberhentian sukarela, meskipun syarikat lain memaklumkan sebilangan kekosongan telah diisi. Keupayaan ganti adalah jelas, dengan tunggakan kerja menyusut bagi bulan ke-20, namun pada kadar paling perlahan sejak Ogos 2022, katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini