comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PNB tekad tangkas urus aset, meskipun ekonomi mencabar tahun depan

FOTO: Permodalan Nasional Berhad

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) komited untuk kekal tangkas dalam mengurus serta meningkatkan lagi aset-aset di bawah pengurusannya pada tahun depan biarpun dalam ketidaktentuan ekonomi serta kebimbangan berlakunya kemelesetan di peringkat global.

Pada masa sama, kumpulan itu akan terus meninjau peluang-peluang baharu yang mampu menjana pulangan mampan kepada pemegang unitnya, kata Presiden merangkap Ketua Eksekutif PNB Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau turut menyifatkan 2022 sebagai tahun persekitaran operasi yang sukar bagi semua pengurus aset dan menjangkakan 2023 juga tidak banyak berbeza.

“Kami akan terus meninjau peluang baharu dalam keadaan yang sentiasa berubah dalam usaha memastikan ia dapat menjana pulangan mampan untuk pemegang unit. Ini termasuk rancangan kami untuk mempelbagaikan portfolio aset kepada berteraskan infrastruktur.

“Selain itu, kami juga sedar mengenai peluang yang banyak dalam segmen pendapatan tetap,” katanya dalam sesi taklimat bersama editor pada Rabu bersempena dengan pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2022, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Zulqarnain juga tidak menolak kemungkinan dari segi risiko penurunan dan sebaliknya.

“Risiko penurunan itu (berkait dengan perkembangan) seperti tindakan berterusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi membendung inflasi, dasar sifar COVID China serta konflik Rusia-Ukraine.

“Bagaimanapun dari sudut lain, sekiranya pihak bank pusat (Fed) berjaya menangani inflasi, ini akan mula meredakan kadar faedah yang akan mendorong aliran kenaikan di pasaran. Langkah China membuka semula ekonominya akan turut memacu pergerakan pasaran,” katanya.

Sementara itu, syarikat pengurusan dana amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Bhd, hari ini mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan ASB sebanyak 4.60 sen seunit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2022.

Pembayaran pengagihan itu yang akan memberi manfaat kepada 10.6 juta pemegang unit ASB, sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor perbankan, perladangan serta automotif.

Ia merangkumi pengagihan pendapatan 3.35 sen seunit serta pembayaran bonus 1.25 sen dan bonus tambahan 0.50 sen berjumlah RM8.9 bilion.

Ahmad Zulqarnain berkata bonus tambahan sebagai tanda prihatin kumpulan ke atas tekanan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini dengan pembayaran itu diberikan kepada 30,000 unit pertama pemegang unit.

“Pembayaran dividen itu adalah berkaitan dengan prestasi pasaran. Oleh itu, dalam tahun yang menyaksikan pasaran tidak sebegitu memberangsangkan, pulangannya akan rendah sedikit, namun kami akan terus positif,” katanya.

Malah, sejak beberapa tahun ini, pihak pengurusan dana itu terus menerima secara purata sebanyak 200,000 akaun baharu setiap tahun, kata beliau.

Dalam sesi taklimat selama 90 minit itu, Ahmad Zulqarnain berkata setakat November 2022, jumlah peruntukan dana di peringkat global juga telah meningkat kepada 19 peratus daripada 17 peratus pada 2021 manakala peruntukan domestik berkurangan kepada 81 peratus daripada 83 peratus.

Beliau turut memperincikan bahawa ekuiti awam domestik meliputi 59.4 peratus daripada peruntukan tersebut (2021: 61.5 peratus); pelaburan swasta 4.4 peratus (2021: 4.0 peratus); hartanah 5.9 peratus (2021: 5.2 peratus); pendapatan tetap 7.1 peratus (2021: 6.5 peratus); tunai 11 peratus (2021: 10.7 peratus) manakala ekuiti awam antarabangsa dikekalkan pada 11.8 peratus.

“Aset di bawah pengurusan PNB terus berkembang melepasi RM340 bilion. Setakat November tahun ini, aset tersebut berjumlah RM343.1 bilion iaitu meningkat daripada RM336.7 bilion pada 2021.

“Selain itu, bilangan akaun juga bertambah kepada 15.2 juta dengan unit dalam edaran mencecah 283 bilion unit yang memaparkan kepercayaan berterusan terhadap PNB,” katanya.- BERNAMA

Loading...
Terkini