comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Portal Fraud Kebangsaan papar maklumat keldai akaun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan yang akan memaparkan maklumat akaun bank yang disyaki terbabit dalam jenayah penipuan kewangan di negara ini.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar, berkata kewujudan portal itu adalah dua perkara yang sedang diusahakan BNM untuk mengurangkan lagi kegiatan jenayah kewangan yang dikesan semakin membimbangkan.

Beliau berkata, BNM ketika ini sedang bekerjasama institusi perbankan negara untuk mewujudkan portal berkenaan, yang dijangka akan dilancarkan pertengahan tahun depan.

“Dua perkara yang sedang dilaksanakan oleh BNM dalam usaha mengekang jenayah kewangan iaitu, bekerjasama dengan bank-bank untuk mengesan dan menjejak dana mangsa yang terbabit, secara automatik. Ini bagi memastikan wang yang ditipu itu tidak hilang.

“Kedua kita sedang bekerjasama untuk mewujudkan ‘National Fraud Portal’ yang akan membantu semua pihak khususnya bank untuk mengukuhkan sistem yang ada. Ini juga untuk ‘melawan’ kewujudan keldai-keldai akaun (mule accounts) yang menjadi alat kepada jenayah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bengkel Jenayah Kewangan bersama Media, di Lanai Kijang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Marzunisham berkata, portal berkenaan akan berbeza dengan portal pencegahan jenayah kewangan lain kerana ia akan dibangunkan satu sistem untuk menganalisis akaun bank yang mencurigakan.

“Terdapat beberapa peringkat dalam kewujudan portal ini, antaranya kita dapat mengesan potensi sesebuah akaun yang akan menjadi ‘mule’ dan digunakan untuk melakukan penipuan kepada mangsa.

“Di masa hadapan, kita bakal mengadaptasi teknologi terbaharu untuk mengesan akaun-akaun yang berpotensi digunakan oleh jenayah. Ia membolehkan kita melakukan pencegahan di masa hadapan, sekali gus membantu mangsa mendapatkan semula wang yang ditipu,” katanya.

Dalam perkembangan itu, Marzunisham berkata, penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi salah satu strategi kumpulan penipuan kewangan pada masa hadapan.

“Teknologi akan sentiasa berubah pada masa hadapan termasuklah kehadiran AI yang akan memberikan kesan positif pada masa hadapan. Malangnya di sebalik itu, ia juga akan digunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan perkara-perkara yang memudaratkan.

“BNM perlu sentiasa bersedia dengan apa juga situasi yang berpotensi pada masa hadapan termasuklah penggunaan AI sebagai alat oleh penjenayah kewangan,” katanya.

Loading...
Terkini