Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Premium perniagaan baharu dalam industri insurans hayat dan insurans am mencatat pertumbuhan dua angka pada separuh pertama 2024 kepada lebih RM20 bilion.
Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, industri takaful keluarga dan takaful am juga menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan rekod jumlah caruman melebihi RM7 bilion bagi tempoh dikaji.
“Untuk merealisasikan potensi ekonomi penuh kita, adalah penting untuk kita kekal berdaya tahan terhadap kejutan dan gangguan serta terus meletakkan pengurusan risiko sebagai keutamaan dalam agenda kita.” katanya ketika menyampaikan ucaptama majlis penjenamaan semula Institut Insurans Asia (Aii) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Insurans Malaysia.
Penjenamaan semula itu menggariskan komitmen Aii untuk menangani keperluan industri insurans yang sentiasa berubah dalam lanskap global yang dinamik.
Jelas beliau, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan dalam permintaan luar.
“Di sinilah perlindungan insurans dan takaful boleh memainkan peranannya – satu yang akan memupuk kestabilan dan daya tahan yang lebih besar dalam ekonomi kita.” jelasnya.
Yang penting katanya, prospek jangka panjang Malaysia adalah cerah, kerana pelaburan melantun semula dengan kukuh dalam apa yang digambarkan sebagai ‘kitaran naik pelaburan’ baharu.
Daripada sektor elektrik dan elektronik kepada projek infrastruktur kepada tenaga boleh diperbaharui, katanya terdapat prospek yang jelas untuk pelaburan swasta dan awam dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Projek berkualiti itu akan menyumbang ke arah produktiviti yang lebih tinggi, kerumitan ekonomi yang lebih besar dan, akhirnya, pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.